KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Thursday, May 20, 2010

Istikharah Petunjuk Arah

Istikharah Petunjuk Arah


“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”

Sepucuk emel dihantar kepada saya.

Beristighfar dan mengurut dada.

Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.

Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.

Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?

MEMBELAKANGKAN ILMU


Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?

Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.

Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.

Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:

“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”

Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.

Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam :

Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata

Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu
(yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).


Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.



ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH


Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.

Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:

“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”

Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.

Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.

Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.

Berhentilah mencari mimpi.

Berhentilah menunggu petanda.

Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).

Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.

Ia mungkin mainan Syaitan.

“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah”
[Al-Aa'raaf 7: 30]


KESIMPULAN

1. Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan.
Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.

2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan
kepada Istikharah.

3. Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk
melihat buruk baiknya.

4. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
5. Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat
Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

6. Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
7. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh
dipercayai kewibawaannya.

8. Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
9. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka
kepada belitan Iblis.

10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.
11. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
12. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih,
tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.

13. Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup
keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.

14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
15. Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.

Sunday, May 16, 2010

Peranan Guru Dalam Mencegah Jenayah Seksual

Peranan Guru Dalam Mencegah Jenayah Seksual
‘Susulan Bayi Kena Jerut: Lahir 3 Anak Luar Nikah.’ (Harian Metro, 10 Januari 2008). Begitulah tajuk-tajuk akhbar yang menjadi pembuka tirai episod jenayah tahun 2008. Kes-kes salah laku seksual kini menjadi bahan perbualan dan polemik umum malah laporan mengenai kes rogol kepada kumpulan hak asasi wanita serta organisasi bukan kerajaan (NGO) dan juga di dalam akhbar adalah perkara biasa.

Menurut laporan akhbar, seramai 1,462 wanita telah dirogol dalam 10 bulan pertama tahun 2005 yang mana ia hanya 10 peratus daripada keseluruhan kes rogol yang telah dilaporkan kepada pihak polis.

Pelacuran kanak-kanak juga wujud malah merujuk kepada statistik polis pada tahun 2002, 97 gadis berusia di bawah 18 tahun telah ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan kerana terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral, lihat Seksyen 5, Perdagangan Manusia, (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).

Dewasa ini, mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral sering dianggap sebagai subjek pelengkap dalam kalangan pelajar. Dengan kata lain, subjek dipelajari hanya disebabkan subjek adalah mata pelajaran wajib yang diambil kira dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Justeru itu, para pelajar kurang penghayatan terhadap subjek ketika proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kurang penghayatan dalam mata pelajaran kerohanian ini akan memberikan pelbagai implikasi negatif yang membimbangkan. Antaranya, wujud gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang membabitkan kes-kes jenayah terutama salah laku seksual seperti yang tersebut di atas.

Ini selari dengan pegangan mazhab idealisme yang memberi fokus kepada akal, jiwa dan kerohanian. Akal, jiwa dan kerohanian adalah penting dalam kehidupan kerana kebenaran menurut mazhab ini hanyalah bergantung kepada tiga perkara tersebut, (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2008:2).

Memandangkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral merupakan satu-satunya mekanisme yang mampu membina jiwa, membentuk kerohanian dan memupuk akhlak mulia dalam diri pelajar, guru-guru sewajarnya memainkan peranan mencegah salah laku seksual dengan menekankan penghayatan subjek-subjek ini kepada pelajar di sekolah. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Amir Hasan Dawi (2006: 242), Ibn Khaldun dan Al-Qabisi berpandangan bahawa pendekatan dalam pembentukan disiplin pelajar atau mengatasi salah laku pelajar perlu diterapkan dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Begitu juga disiplin boleh diterapkan melalui pembelajaran formal. Justeru, pelbagai cara dan langkah boleh diambil oleh guru dalam menekankan penghayatan subjek Pendidikan Islam dan Moral.

Perkara paling asas yang perlu diambil perhatian terhadap pelajar hari ini adalah pemeliharaan pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan kerana pergaulan yang melampaui batasan merupakan akar umbi kepada salah laku seksual. Dalam situasi keruntuhan moral yang semakin meruncing kini, saya menyokong tindakan guru-guru mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan dalam isu yang digembar-gemburkan baru-baru ini di mana sebuah sekolah menengah di Taman Seremban Jaya di sini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa kerana mengasingkan pelajar perempuan dan lelaki dalam semua aktiviti termasuk ketika membeli makanan di kantin, (Harian Metro, 10 Januari 2008).

Berdasarkan teori perkembangan psikoanalisis Sigmund Freud; pada peringkat Genital (12 tahun ke atas), remaja mula menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Ketika ini, kelenjar-kelenjar kelamin sudah mula berfungsi sebagai sumber kenikmatan dan wujud perasaan cinta dua arah. Kesulitan-kesulitan yang timbul pada peringkat ini akan menyebabkan ketegangan yang berhubung dengan masalah seks, (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2002).

Oleh kerana itulah syariat Islam diturunkan untuk mengatur hubungan antara manusia. Hubungan di antara manusia itu termasuklah mengatur bagaimana individu manusia yang berlainan jenis seharusnya bergaul.

Di dalam Islam, hukum asal bagi kehidupan lelaki dan wanita adalah terpisah (diasingkan). Islam melarang percampuran di antara lelaki dan wanita kecuali di dalam hal yang memerlukan interaksi seperti jual-beli, bekerja, perubatan, pertanian, industri dan sebagainya. Namun, apabila berada di luar urusan yang memerlukan interaksi tersebut, maka seorang wanita haram melakukan interaksi dengan lelaki kecuali dengan mahramnya. Tidak timbul masalah perkembangan remaja akan terganggu kerana pengasingan pelajar lelaki dan perempuan dalam pendidikan telah diamalkan dalam Islam semenjak zaman Nabi sehinggalah era kegemilangan ilmu empayar Khilafah Uthmaniyah, malah telah terbukti bahawa mereka berjaya menghasilkan masyarakat yang tidak terjejas tetapi bertamadun tinggi dan harmoni.

Bukan itu sahaja, sistem persekolahan Inggeris yang dipandang tinggi oleh masyarakat itu juga mengamalkan pengasingan di antara murid lelaki dan perempuan suatu ketika dahulu. Saya percaya guru memiliki tanggungjawab besar dalam memelihara pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan dengan mewujud serta menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sewaktu kelas mahupun sepanjang sesi persekolahan.

Selain pengasingan di antara pelajar lelaki dan perempuan, guru boleh memilih untuk menguatkuasakan peraturan lain sebagai alternatif yang lebih longgar dan mudah dilaksanakan. Antaranya, melarang pelajar lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan dan bersentuhan terutamanya jika pelakunya adalah pelajar muslim.

Guru juga perlu menegur pelajar lelaki yang mengusik pelajar perempuan secara berlebih-lebihan serta pelajar lelaki dan perempuan yang bergurau senda melampaui batasan. Dalam menjalankan fungsinya di sekolah, guru sepatutnya dapat mengubah cara hidup pelajar sungguhpun di luar sekolah pelajar itu mungkin berdisfungsi. Dalam usaha mendisiplinkan pelajar, guru mungkin menggunakan kaedah penguatkuasaan dengan mengetatkan peraturan dan hukuman, (Amir Hasan Dawi 2006:239).

Berpakaian sopan merupakan etika yang sepatutnya diamalkan oleh pelajar perempuan lebih-lebih lagi dalam masyarakat Malaysia yang sememangnya berpegang teguh kepada pengamalan budaya dan adat ketimuran. Pakaian yang terdedah boleh membawa kepada berlakunya gejala-gejala sosial kerana pakaian diibaratkan sebagai umpan untuk menarik perhatian lelaki yang boleh membawa kepada berlakunya seks bebas, rogol, sumbang mahram dan lain-lain.

Dalam hal ini, guru seharusnya memerhati, menegur dan menasihati pelajar-pelajar perempuan yang gemar berpakaian menjolok mata supaya berpakaian sopan di mana-mana sahaja dan ini merupakan salah satu cara menerapkan penghayatan subjek Pendidikan Islam dan Moral. Antara kepentingannya adalah untuk mengelakkan pelajar perempuan diganggu oleh kaum lelaki sewaktu keluar dari rumah malah ketika berada di dalam rumah juga pelajar perempuan sewajarnya berpakaian sopan atau tidak terdedah untuk mengelakkan rangsangan seksual kepada ahli keluarga lelaki. Tambahan pula, kejadian kes sumbang mahram telah berlaku secara berleluasa akhir-akhir ini.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga melaporkan 306 kes sumbang mahram pada tahun 2002 dan pada bulan September 2005, media tempatan telah melaporkan bahawa berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap 133 orang pesalah laku seksual, 23 peratus daripada mangsa adalah anak perempuan mereka sendiri, (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).

Ahli sosiologi, psikologi dan pendidik bersependapat mengatakan penampilan seksi wanita adalah salah satu punca berlaku kejadian rogol.

Saya meyakini bahawa semua agama di dunia ini menggalakkan penganutnya berpakaian sopan atau menutup aurat. Berikut merupakan seruan kepada penganut Islam yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Surah an-Nur: 31)

Kes-kes salah laku seksual timbul apabila Pendidikan Agama dan Moral dikesampingkan dari fokus dan tumpuan pelajar. Maka, terhasillah pelajar yang degil, pemarah, keras hati dan bebal. Ditambah dengan tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, maka emosi mereka menjadi tidak terkawal. Kalau pun ada pelajar yang cemerlang akademiknya, maka mereka yang lahir nanti ialah ahli profesional yang tidak beretika dan bertanggungjawab.

Seorang pensyarah pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia pernah berkata bahawa sistem pendidikan yang menekankan aspek akademik dan keintelektualan semata-mata hanya akan melahirkan produk (individu) berkelulusan akademik cemerlang, tetapi kosong daripada aspek etika dan nilai-nilai murni sebagai seorang manusia.

Justeru itu, suatu langkah yang lebih menyeluruh perlu difikirkan dan diambil bagi menilai aspek penghayatan pelajar dari segi agama dan moral. Suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak dan moral yang baik perlu diwujudkan di sekolah, dalam keluarga dan masyarakat. Hanya dengan suasana yang saling menyokong ini, pelajar-pelajar yang berakhlak dan bermoral dapat dilahirkan.


Wednesday, May 12, 2010

APAKAH BALASAN KITA PADA IBU??

APAKAH BALASAN KITA PADA IBU??

Semasa kita berumur 1 tahun, Ibu menyuap kita makan dan memandikan kita. Kita membalas budinya dengan menangis sepanjang malam.

Semasa kita berumur 3 tahun, Ibu menyiapkan makanan istimewa dan berzat untuk kita. Kita membalas budinya dengan menumpahkan makanan ke atas lantai.

Semasa kita berumur 4 tahun, Ibu membelikan kita crayon. Kita membalas budinya dengan menconteng dinding di rumah.

Semasa kita berumur 5 tahun, Ibu membelikan kita baju baru untuk Hari Raya. Kita membalas budinya dengan mengotorkan baju apabila jatuh ke dalam lopak.

Apabila kita berumur 7 tahun, Ibu menghantar kita ke sekolah. Kita membalas budinya dengan menjerit, "SAYA TAK MAHU PERGI SEKOLAH."

Semasa kita berumur 10 tahun, Ibu menghantar kita ke kelas tuisyen, membawa kita shopping, menghantar kita ke rumah kawan dan sebagainya. Kita tidak langsung menoleh ke belakang dan mengucapkan terima kasih, setiap kali Ibu menghantar kita.

Apabila kita berumur 11 tahun, Ibu membelikan kita sebiji bola sepak. Kita membalas budi Ibu, dengan menendang bola dan memecahkan cermin tingkap rumah jiran kita.

Semasa kita berumur 12 tahun, Ibu menasihatkan kita supaya tidak terlalu banyak menonton TV. Kita membalas budi Ibu dengan asyik menonton TV, sebaik sahaja Ibu keluar dari rumah.

Apabila kita berumur 13 tahun, Ibu menegur fesyen rambut kita yang kurang sopan. Kita membalas budi Ibu dengan berkata bahawa Ibu tak ada "TASTE."

Apabila kita berumur 16 tahun, Ibu inginkan dakapan setelah penat dan baru balik bekerja sehari suntuk. Kita membalas budinya dengan mengunci diri kita dan bersendirian di dalam bilik.

Apabila kita berumur 17 tahun dan lulus peperiksaan, Ibu menangis gembira. Kita membalas budi Ibu dengan tidak balik ke rumah hingga larut malam, kerana enjoy & celebrate dengan kawan-kawan.

Apabila kita berumur 19 tahun Ibu membelanjakan wang yang banyak untuk menghantar kita ke universiti, mengangkat beg kita dengan kasih sayang, sampai ke hostel kita. Kita membalas budi Ibu, dengan bersalaman dengan Ibu di luar dorm, takut malu dilihat kawan-kawan.

Apabila kita berumur 20 tahun, Ibu bertanya dengan rasa prihatin kita ada boyfriend/girlfriend ke? Kita membalas budi Ibu dengan berkata --- " Ibu ni kepohlah!!"

Apabila kita berumur 21 tahun, Ibu bertanya apa cita-cita kita. Kita membalas budi Ibu dengan berkata, "saya tak mahu jadi macam ibu!!"

Apabila kita berumur 23 tahun, kita mendapat kerja yang pertama dan tinggal dirumah sendiri - Ibu membelikan baju untuk kita memulakan kerja baru. Kita membalas budi Ibu dengan memberitahu kawan-kawan bahawa baju itu tidak cantik kerana Ibu yang belikan.

Apabila kita berumur 25 tahun, kita berumahtangga - Ibu menangis gembira dan berkata betapa Ibu kasih dan sayang pada kita. Kita membalas budi Ibu dengan berpindah 300 kilometer jauh dari Ibu.

Apabila kita berumur 27 tahun, Ibu menelefon dan memberi nasihat tentang penjagaan bayi, anak kita. Kita membalas budi Ibu dengan berkata, "Zaman sekarang lain Ibu..!!!!"

Apabila kita berumur 40 tahun, Ibu menelefon dan memaklumkan majlis kenduri di kampung. Kita membalas budi Ibu, dengan berkata - "saya sibuk!!!!"

Apabila kita berumur 50 tahun, Ibu jatuh sakit dan perlukan penjagaan dan kasih sayang. Kita membalas budi Ibu dengan datang melawat Ibu sekali dengan membawa sedikit buah apple dan merungut tentang kesibukan bekerja dan terpaksa balik segera.

Dan kemudian, pada suatu hari, Ibu meninggal dunia. Dan tidaklah kita sempat untuk membalas segala jasa-jasa Ibu. Ingat, selagi Ibu masih hidup, kasihi dan sayangilah Ibu dan jika Ibu sudah meninggal dunia, ingatlah jasa ibu.




Dunia Yang Menipu

Allah swt menjadikan dunia ini begitu indah pada pandangan mata serta menggerakkan keinginan hawa nafsu terhadapnya.

Diingini, dirindui dah diidamkan.
Dunia boleh melalaikan, mempesona dan menggoda.


Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya dunia adalah manis menghijau;Senang hati melihatnya;.Bahawasanya Allah memilih kamu untuk menguasainya, maka Dia sentiasa memilih kamu untuk menguasainya, maka Dia sentiasa memerhatikan apa yang kamu lakukan.” (Riwayat Muslim).

Dengan keadaan demikian Allah swt mahu manusia mengurus dan mentadbir dunia dengan adil dan jujur. Tanpa khianat dan kepentingan apa-apa selain kerana Allah semata-mata.Ini kerana Allah mahu menguji manusia. Siapa yang dapat mengalahkan nafsunya daripada terpesona dengan dunia, untuk mengikut kehendak-kehendak Allah swt. Inilah ujian iman dan taqwa. Siapa yang kuat iman dan taqwanya dapatlah ia mengutamakan Allah daripada nafsunya.

Sebaliknya siapa yang lemah iman dan tiada taqwa nescaya dia tidak dapat lepas daripada kongkongan nafsunya. Nescaya ia akan khianat dan merangkul dunia hanya untuk dirinya. Demikianlah halnya kita dengan dunia ini.

Allah swt telah mengamanahkan kepada kita sesuatu yang sangat kita cintai. Harta, pangkat, wang, rumah besar, isteri,kecantikan, anak-anak, kesihatan, kepandaian, ilmu, pembangunan, kebun-kebun yang indah, alat-alat kemudahan hidup dan serba-serbi lagi. Ini kerana Allah mahu kita mentadbir dunia ini mengikut hukumNya dan menggunakan dunia untuk kepentingan agama Allah dan untuk keselamatan di akhirat, tanpa mengabaikan duniawi itu sendiri.

Namun nafsu kita pula mahukan agar segala anugerah dan amanah itu menjadi milik peribadi dan untuk keseronokan duniawi semata. Maka bertarunglah dua kemahuan dalam diri setiap individu dan hasilnya, hampir semua orang akan tewas kepada hawa nafsu. Kehendak nafsu menjadi ikutan sehingga kehendak dan amanah Allah dikhianati. Masing-masing membolot dunia untuk perut dan poket sendiri. Semakin tinggi ilmunya, semakin rakus juga nafsunya.

Mereka yang berpangkat menggunakan pangkatnya untuk mencari keuntungan peribadi, seperti kemahsyuran, kekayaan harta dan wang ringgit.Bila rasa tidak puas dan tidak cukup dengan apa yang ada wujud maka masing-masing akan berlumba untuk mendapat yang lebih lagi dari apa yang dikurniakan. Maka terjadilah tindas- menindas, menipu, rasuah, merompak dan lain-lain.

Bagaimana untuk kita kembali kepada jalan yang benar?


Kita telah mengatakan bahawa punca bagi segala masalah ini ialah kerana manusia menuruti nafsu cinta dunianya. Masing-masing menjadikan dunia sebagai matlamat hidup, bukan alat hidup untuk menuju ke akhirat. Sekiranya punca ini dibetulkan barulah penyakit tadi dapat dielakkan. Maknanya, kalau manusia tidak lagi cinta kepada dunia dalam dia menguruskan dunia, masalah-masalah yang timbul yang merosakkan kehidupan akan berhenti dengan sendirinya.

Ketahuilah matlamat hidup yang sebenarnya hanyalah untuk Allah swt dan bukan untuk dunia. Dunia hanyalah laluan untuk kembali ke akhirat. Kehidupan yang sebenar bukanlah di dunia tetapi di akhirat. Dunia merupakan tempat berbakti untuk mencari keredhaan Allah swt. Bukan untuk mengumpul dunia dan berbangga-bangga dengannya.


Orang yang dapat menjadikan hidupnya untuk Allah dan akhirat tanpa mengabaikan keperluan dunia, akan menjadi orang yang mengutamakan kepentingan orang lain. Masyarakat yang benar-benar hidup untuk Allah dan untuk akhirat, ialah masyarakat yang benar-benar berpadu dengan kasih sayang dan tolong-menolong seperti kata pepatah, 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'. Masing-masing akan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan, mencari keredhaan Allah dan kebahagian di akhirat melalui kehidupan di dunia.

Monday, May 10, 2010

Cinta Daripada Pandangan Imam Al-Syafie

Cinta Daripada Pandangan Imam Al-Syafie
Imam Al-Syafie banyak memberi pedoman dalam memilih kawan. Beliau juga mengakui sukar mencari sahabat sejati yang mahu berkongsi suka duka bersama. Ketika menilai sahabat sejati pada waktu susah, katanya:

“Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.

Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.

Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku.

Ku kunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia".


Imam Al-Syafie turut meminta kita berhati-hati memilih sahabat kerana sahabat yang baik akan membawa ke arah kebaikan dan begitu sebaliknya. Katanya:

“Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat.

Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadangkala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

Seseorang itu juga dapat menundukkan musuhnya dengan menunjukkan rasa persahabatan".

Imam Al-Syafie dalam hal ini berkata:

“Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan.

Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.

Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.”


Tuesday, April 27, 2010

Mata oh Mata, Kenapa Engkau Liar?

Mata oh Mata, Kenapa Engkau Liar?
Babak 1

Sop: Kau tahu tak, Zetty tu dulu free hair.. Tiba-tiba je datang kesedaran nak pakai tudung.
Meon: Ye ke??!! macam tak percaya je..
Sop: Ha ah.. ok gak la.. dalam majalah sekolah ada lagi gambar dia.. kau nak tengok?

Babak 2

Pada suatu hari Sop dan Meon sedang berjalan-jalan di kotaraya London. Tiba-tiba mereka terlihat kelibat seorang wanita bertudung labuh ala-ala KCB.

Sop: eh, ada gadis mcam dalam KCB la...
Meon: Mana? Mana? Mana?
Sop: tuuu...tengah jalan ramai2 depan Madame Tusod..
Meon: ooooooo..... macam kenal, yang pakai tudung kaler merah jambu tu ke?

Babak 3

Sop dan Meon menyambung kembara cuti Easter mereka di bandaraya Dublin. Cuaca semakin panas.

Sop: astaghfirullahal azim, singkatnya skirt minah saleh tu...tak solehah langsung...! !
Meon: eh ye ke? yang mana satu? Yang skirt oren tu ke?
Sop: tak, yang kaler biru , blouse biru muda tu..
Meon: Ha ah la..betul lah cakap kau...


Ada apa dengan mata?

Untuk jadi hebat, kita perlu menutup dan menundukkan pandangan. Ini bukanlah bermaksud semuanya kena pejamkan mata 24 jam (penat juga tu), atau membina dinding dan tembok batu sepanjang masa atau semasa kuliah-kuliah agama sahaja, tetapi menjaga dan memelihara kedua mata kita daripada MENJADI LIAR.

Apabila datangnya peluang terbentang di hadapan kita, samada semasa sedang berseorangan, atau sedang berdua bersama rakan karib, atau bersama masyarakat umum, kita mestilah bertindak SEGERA dan PINTAR untuk tidak mengamati kecantikan wanita yang terbentang dan segeralah mengalihkan pandangan daripadanya sambil bersyukur dan beristighfar.

''Alhamdulillah, Allah jaga mata dan hati aku. Ya Allah, ampunlah dosa aku, moga Allah beri yang lebih baik''

Allah berfirman;

"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar." - [67:12]

Kalau dahulu dia tidak bertudung, atau kurang menutup aurat, perlukah kita menatap gamabr gambar 'lama' itu lagi? Fear Allah brothers... malulah sebab mereka itu sudah diberikan hidayahnya.. Kita bila lagi?

Kalau ternampak kelibat wanita yang berjilbab dan menutup aurat samada di majlis ilmu atau di jalanan, malulah dan pandanglah tempat lain. Itu bukan HAQ mu.. Allah boleh ganti dengan yang lebih baik.

Kalau diberikan peluang melihat aurat wanita, takut dan malulah, kerana itu akan merendahkan darjat matamu dan merosakkan amal, sekaligus hati menjadi lali dan tidak tenteram.

End of part one for Brothers.. please try this at home


Sunday, April 25, 2010

Mengapa Perlu Berkahwin?

Mengapa Perlu Berkahwin?

1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..


*************

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..


Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :

Nabi melarang daripada hidup membujang.
(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :
"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.
(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).

Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.

Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.


Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti


Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :
"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.
(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)

Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.


Jiwa tenang dengan jalan pernikahan

Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".
(Ar Rum :21)

Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.


Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.


Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.

Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.
"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".
(An Nur : 32)

Hati Kita Keras

Hati Kita Keras

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya..Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya”.

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku.” (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat


Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Thursday, April 22, 2010

Siapa Yang Sedang Kau Maksiati

Siapa Yang Sedang Kau Maksiati
Dalam melayari sebuah kehidupan bernama insan dan juga hamba ini, kita sering melihat perkara mungkar dan amal ma'aruf. Maka disini akan kita lihat dengan jelas wujudnya dua golongan manusia.

Pertama golongan yang cintakan kebaikan, gemar melakukan kebajikan dan suka dalam menjalani kema'arufan.

Manakala golongan kedua ialah golongan yang cintakan kemungkaran, gemar melakukan keburukan dan suka dalam menjalani perkara maksiat serta dosa.

Jelas golongan ini wujud disekeliling kita termasuk juga diri kita sendiri. Tambahan lagi, maksiat kini semakin berleluasa. Tetapi kita perlu ingat, Allah telah memberi peringatan kepada kita bahawa musibah atau kemaksiatan yang dilakukan, tidak hanya akan menimpa para pelakunya sahaja tetapi akan menyeluruh kepada masyarakat sekitarnya.

Allah berfirman: "Dan takutlah kalian terhadap fitnah ( musibah, petaka, bencana, siksa ) yang benar-benar tidak hanya menimpa orang-orang zalim di antara kalian secara khusus. Dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha dahsyat siksa-Nya." (Surah Al-Anfal:25)

Subhanallah, sesungguhnya sebuah peringatan yang Allah berikan bukanlah sebuah peringatan yang dahsyat. Janji Allah benar-benar pasti. Maka musibah akan menimpa, bala bencana pasti akan menimpa negeri kita, bila kemurkaan dilakukan, bila maksiat dibiarkan, bila dosa atau pahala diacuhkan, bila pelakunya di agungkan, bila perbuatannya didokong dan dikendalikan, sungguh musibah pasti akan menghampiri kita.

Daripada ayat Allah tadi, jelas menunjukkan kepada kita, musibah tidak hanya akan menimpa pelakunya sahaja bahkan keseluruhan masyarakat disekelilingnya. Lalu bagaimana diri kita, yang mengaku cintakan kebenaran, para pendokong kema'arufan, para penggemar kebajikan, para pelaku kebaikan. Adakah kita terlepas dari kemungkaran? Apakah amal baik kita sudah terbebas daripada dosa?

Ayat Allah ini diperkukuhkan lagi dengan sebuah kisah, di mana Allah memerintah malaikat untuk menurunkan bala di sebuah negeri. Lalu malaikat pun turun ke bumi untuk menurunkan bala, tetapi malaikat ternampak seorang yang kuat ibadahnya kepada Allah di dalam negeri itu. Lalu malaikat naik semula bertemu dengan Allah dan menceritakan tentang perkara tadi. Maka Allah memerintahkan malaikat untuk menurun bala terlebih dahulu kepada orang alim tadi.

Sungguh naif, bila kita mengaku diri kita sebagai seorang da'ie bila mana diri kita terjerumus dengan dosa dan maksiat, sungguh malu bila kita mengaku kita cintakan kemakrufan bila mana diri kita masih terlena dengan realiti dunia, sungguh zalim bila kita mengaku gemar melakukan kebajikan dalam diam kita melakukan keburukan. Atau bahkan kitalah yang sebenarnya menjadi kunci asbab turunnya musibah, dek kerana kita tahu, tapi kita melanggar dan melakukan maksiat.

Memang manusia tidak terlepas dari sifat pelupa dan salah, bukan mudah untuk bebas dari kemungkaran dan keburukan dek hawa nafsu yang menjadi musuh utama, kecuali mereka yang Allah lindungi dan kasihi, dipayungi rahmat kerana sentiasa hatinya menyebut dan mengingati Allah.

Sungguh beruntung mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap amal perbuatannya.

Nasihat seorang ulama ada mengatakan: Jangan engkau melihat akan kecilnya suatu kesalahan. Akan tetapi lihatlah kepada siapa engkau bermaksiat. Wallahua'lam...


Tipu Daya Syaitan Terhadap Manusia

Tipu Daya Syaitan Terhadap Manusia
Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh perkara menurut Imam Ghazali iaitu:

1. Syaitan melarang manusia taat kepada Allah. Sedangkan orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan: 'Aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.'

2. Syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan : 'Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.' ; Orang-orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: 'Kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal berlainan.'

3. Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: 'Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.' ; Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: 'Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.'

4. Syaitan akan menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan: 'Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah swt dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).'

5. Syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal: 'Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.' ; Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa: 'Semua keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula.'

6. Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara yang keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali orang-orang yang cerdik dan berfikir. Syaitan berbisik dalam hati manusia: 'Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir (kejahatan), jangan sampai diketahui oleh orang lain .' ; Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan: 'Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.'

7. Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: 'Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.' ;

Orang-orang yang dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan: 'Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintahNya. Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendakNya. Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat.

Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar ; Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti! Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan; Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga, Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita.'


Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah swt agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufiq dan keredhaan. Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.



Tuesday, April 20, 2010

Manisnya Taubat

Manisnya Taubat

Bismillahirrahmanirrahim..

Seringkali hati bertanya, minda ligat berfikir, mengasak soalan bertalu-talu pada diri, mengapa manusia susah nak buat baik?

Mengapa segelintir manusia lebih suka memilih untuk buat jahat?

Kadang- kadang ingin saja ku temuramah mereka "terlibat dengan urusan sebegitu", ..

Kenapa jadi jahat? Tak takut Tuhan ke? Tak nak masuk syurga ke? Dah tak sayang keluarga?kenapa, mengapa, dan untuk apa...

Namun, hati ini masih sedar, mereka juga manusia, juga punya naluri, punya akal dan perasaan, juga punya nafsu, sama sepertiku..adalah tidak wajar untuk menghukum mereka seratus peratus.

Kadang-kadang soalan- soalanku dijawab secara tidak langsung oleh "mereka", terpapar di dada-dada akhbar, juga di majalah-majalah..

Jawab mereka,
"bukan kami tak nak jadi baik, kami nak..kami nak masuk syurga..tapi kami jahat..
alang-alang dah buat jahat, biar sampai masuk neraka"


"keluarga pun dah tak nak terima kami.masyarakat mula menyisihkan kami. kami hina di mata mereka.kami tak layak untuk berdiri satu barisan bersama pak imam, tak layak nak bersalaman dengan pak lebai"

"ayah dan mak dah tak nak tengok muka saya lagi. mereka malu atas perbuatan saya. kekasih saya lari meninggalkan saya dan anak yang saya kandungkan. mak tak nak mengaku saya ni anak dia. saya dah tak suci, saya dah tak ada apa-apa.."

Itu antara jawapan-jwapan daripada "mereka"..

Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah sebegini yang dipaparkan untuk tatapan kita, untuk dijadikan teladan, bukannya ikutan..tapi, yang menghairankan aku, semakin banyak kisah sebegini didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat seharusnya sedar dan menjadikannya sebagai iktibar, memulakan langkah untuk mendidik anak-anak kecil yang masih bersih fitrahnya, memantapkan pendidikan bagi anak-anak yang sudah mulai dewasa, dengan pelbagai pengisian agama, agar tidak mengikut jejak langkah "mereka" itu.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Bermula dari kes yang kita anggap remeh-temeh sehinggalah kes yang membawa ke tali gantung, semuanya seakan dipandang ringan oleh masyarakat.

Malah mereka seakan berlumba-lumba, untuk mencari publisiti murahan, memenuhi dada-dada akhbar, gembira melihat wajahnya ditayangkan di kaca televisyen, tersenyum megah kerana dia dikenali ramai, namanya menjadi bualan di sana- sini, kerana terbait dengan kes RASUAH, BUNUH, ROGOL, dan tak kurang juga yang sibuk memenuhi lebuh raya, merempit sana sini tak tentu hala, kononnya hendak mati di JALAN YANG LURUS.

Belum termasuk lagi kes-kes HARUAN MAKAN ANAK, pelajar SEKOLAH AGAMA buang anak, tambah lagi dengan masalah politiknya, dan bermacam- macam jenis 'penyakit' lagi, yang kini sedang menular di kalangan masyarakat kita, yang kelajuan penularannya mengalahkan penularan virus H1N1.

Aduhai manusia, aduhai bangsaku..

Mengapa kalian memilih jalan sesempit ini. maka akan dijawab mereka,

"kerana ini sudah ditakdirkan Allah"

Aduhai, mengapa kalian sanggup menghukum diri sendiri, sedang Allah telah berfirman bahawa tidak akan berubah nasib sesuatu kaum itu kecuali dengan tangan mereka sendiri.

Mengapa masih memilih untuk menjadi jahat sedang jalan untuk menjadi baik itu adalah lebih senang daripada menjadi jahat!.

Mengapa berputus asa dari rahmat Allah, sedangkan ketika 1 pintu rahmat Allah telah tertutup untuk kita, maka akan dibukakan untuk kita 99 pintu yang lain.

Subhanallah, begitu sekali sayang Allah pada kita. Begitu sekali baiknya Allah pada kita, tapi mengapa kita jadikan Allah murka atas segala perbuatan kita? dan kita berkata,

"aku dah jadi jahat, mana mungkin Allah akan menerima aku sebagai hambaNya".



Masya Allah, pernahkah kalian mendengarkan kisah tentang seseorang yang kehilangan untanya di padang pasir? seseorang yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir, kemudian haiwan yang ditungganginya itu lari meninggalkannya, sedangkan di atas haiwan itu terdapat bekalan makanan dan minumannnya.

Dia berputus asa untuk menemui haiwan dan bekalannya. Lalu dia duduk berteduh di bawah sebatang pohon dan berbaring, kerana dia benar-benar berputus asa untuk menemui haiwan tunggangannya itu. Kemudian dia tertidur.Sejurus dia bangun dari tidurnya, dia mencari lagi untanya itu dengan berjalan kaki namun dia tidak menjumpainya. dia berjalan lagi, namun gagal menjumpainya. Dia mencarinya untuk kali ketiga, namun usahanya itu masih gagal.

Apabila dia kembali ke tempat tidurnya sebelum itu, tatkala dia duduk termenung, tanpa diduganya, tiba-tiba unta tunggangannya yang hilang itu muncul kembali, lengkap dengan bekalan yang dibawanya. Kemudian, dia segera memegang tali tambatannya. Bayangkan kalau kita berada di tengah padang pasir yang luas dan panas yang terik, hampir berputus asa untuk mencari unta yang hilang, tetapi tiba-tiba unta itu muncul kembali di hadapan kita. Mana mungkin kita tidak gembira, gembira yang bukan kepalang..namun sahabatku, sesungguhnya, Allah s.w.t itu lebih jauh lagi gembiranya dengan taubat seorang hamba berbanding dengan musafir yang menemui untanya di padang pasir itu tadi.

Wahai sahabatku sekalian, ayuh,
bersangka baiklah dengan Allah. Sebagaimana kita gembira bertemu dengan kekasih hati, malah Allah lebih gembira daripada itu.

Sebagaimana kita menyayangi kekasih hati sepenuh jiwa, namun sayangnya Allah lebih daripada itu, betapa luasnya nikmat pemberian Allah, tapi sayang hanya kita sahaja yang tidak tahu untuk menghargai pemberiannnya.

Banggalah menjadi hamba Allah, tanamkanlah rasa cinta pada Allah dalam diri kita, kerana cinta Allah pada hambaNya sangat tidak ternilai.

Demi cinta Allah pada hambaNya, Allah telah berfirman,

" dan Dialah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya yang bertaubat, serta memaafkan kejahatan-kejahatan yang telah mereka lakukan dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan", surah an-nisa (4:16).

Sungguh, Allah telah membukakan pintu rahmatNya di siang hari untuk menerima taubat hamba-hambaNya di waktu siang, dan membukakan pintu rahmat pada malam hari hari, untuk menerima taubat hamba-hambaNya pada malam hari.

Tapi, melihat keadaan kita pada hari ini, yang masih lagi dengan ego dan sombong yang menebal pada diri..cita-cita tinggi dijulang, mengimpi syurga Allah, namun tanpa sedar, amalan- amalan yang kita lakukan itu semakin membuatkan kita jauh dari syurgaNya, jauh dari rahmatNya..

Amatlah rugi bagi mereka yang telah diberi peringatan, tapi masih bermegah-megah dengan diri sendri, tanpa sedar apa yang kita miliki ini semuanya adalah milik Allah. Alangkah sedihnya Allah, seakan tiada siapa lagi yang memerlukanNya, seakan tiada siapa yang mahukan taubatnya diterima, seakan tiada siapa yang mahu dosanya diampunkan, dan..seakan tiada siapa yang berlumba-lumba untuk meraih cintaNya Yang Maha Pengasih, lagi Pemurah itu..