KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Sunday, October 31, 2010

Duhai Hati, Janganlah Terkorban Dengan Dunia

Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti.

Namun adakah kita sedar bahawa ia adalah ujian dari Allah?

Kepayahan itu sesungguhnya adalah satu bentuk tarbiyah-Nya kepada hati.

Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya?

Terlebih banyak mengadu dari bertahmid rasanya.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)

Tak tersedarkah hati bahawa segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu adalah nikmat.

Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuhi?

Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.

Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?

Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?

Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?

Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita? Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?

"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)

Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

Wednesday, October 27, 2010

Anda Semakin Matang Bila...

Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai.

Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa.

Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.

Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka.

Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat.

Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.

Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda.

Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya.

Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.

Anda memberi persetujuan kepada pendapat- pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang.

Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati.

Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.

Anda menghadapi orang-orang tua atau orang- orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif.

Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.

Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.

Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai.

Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.

Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita.

Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

Monday, October 18, 2010

Virus Cinta Virus Benci

Indahnya Belajar Daripada Alam

altAku sering memandang ke luar jendela.

Merenung ke langit melihat pokok, bintang, langit yang biru, pokok-pokok yang berdiri tegak dan bintang-bintang yang berkelipan di kala malam.

Malah aku sebenarnya sangat tertarik dengan sebatang pohon di hadapan jendelaku yang kelihatan sangat lebat dan rendang daunnya.

Setiap kali aku memandang keluar jendela, pohon itulah yang sering menambat perhatianku terlebih dahulu.

Dalam hatiku pula, aku sering tertanya-tanya apakah yang dapat aku pelajari dan aku fikirkan daripada alam ciptaan Allah ini.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang ada tanda-tanda bagi orang yang berakal. Yaitu orang-orang yang mengingat Allah dalam keadaan berdiri atau duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka'' (Surah Al-Imran : 190-191)

Suatu hari aku terdengar petikan kata-kata Ustaz Zahazan dalam satu kuliahnya menerusi radio - orang beriman umpama pohon yang merendang. Akarnya sangat kuat dan sangat sukar untuk dipatahkan.

Malah akarnya bisa mencengkam ke dasar tanah. Begitulah jua dengan orang beriman.

Keimanannya teguh semata-mata kerana Allah yang Esa.

Daun pohon itu sangat rendang dan lebat umpama orang beriman yang semakin berusia, semakin bertambah pula amal ibadatnya semakin bertambah jua ilmunya.

Pohon itu sangat teguh dan kukuh di situ.

Meskipun kadangkala dahan dan dedaunnya meliuk lintuk dan bergerak dipukul angin kuat, namun pohonnya tetap di situ.

Akarnya yang kuat mampu menahan dirinya daripada tumbang.

Ya! Seperti orang yang beriman, meskipun kadangkala iman itu ada naik dan turunnya, meskipun terkadang hampir ditewaskan dengan pujuk rayu syaitan dan nafsu, namun keimanan yang teguh yang mendasari hati mengatasi segalanya.

Pohon itu tahan diuji dengan panas dan hujan. Malah meskipun disambar petir dan angin yang kencang.

Sepertimana orang yang beriman, meskipun diuji dengan dugaan dan ujian yang sangat berat, namun dia pasrah dan sabar.

Mereka tetap meneruskan hidup dengan senyuman dan tidak pernah mengalah.

Dedaun yang kering dan sudah tua tidak kekal di atasnya.

Ianya akan jatuh ditiup angin atau jatuh sendiri, dan akhirnya menyatu dengan tanah.

Sepertimana orang beriman yang tidak pernah membiarkan dirinya bersalut dosa, sering mencari peluang untuk bertaubat dan menyucikan diri, agar diri termasuk dalam kalangan orang yang diampunkan.

Pohon itu juga menjadi tempat untuk insan berteduh daripada kepanasan, bersandar kerana keletihan.

Tambahan itu, mereka juga dapat berlindung daripada panas dan hujan sepertimana orang beriman yang menjadi pelindung kepada saudaranya yang lain serta membantu saudaranya yang dalam kesusahan di samping membela nasib orang miskin dan anak-anak yatim.

Burung-burung juga sering singgah di dahan pohon tersebut.

Itulah umpamanya orang beriman yang dalam masa yang sama, menjadi penolong agama Allah dengan menyebarkan hidayah dan petunjuk-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang lain yang perlukan bimbingan. Mereka mengajak ke arah kebaikan, menyeru ke jalan yang benar dan mencegah daripada kejahatan.

Namun, pohon itu tetap pohon.

Sebatang pohon yang merupakan makhluk Allah. Dia tidak kekal dan saatnya akan tiba, Pasti ia akan mati jua.

Walau seteguh mana pun ia di situ, aku sedar, saatnya akan tiba di mana aku tidak mampu lagi menyaksikan ianya berdaun lebat dan berdiri kukuh di situ.

Sepertimana orang beriman, tiba masa dan ketika, dirinya tetap kan pergi menghadap Ilahi.

Namun kehilangannya pasti dirasai, jasa dan bakti mereka tetap dalam sanjungan.

Dan akhirnya aku dapat mempelajari sesuatu daripada sebatang pohon yang sering aku pandang selama ini.

Ini mengajarku untuk menjadi seorang hamba yang lebih baik kepadaNya.

Bukan sekadar untuk dipandang, namun jua untuk dipelajari dan diambil pelajaran daripadanya. Semoga kita semua mampu belajar sesuatu daripada alam yang terbentang luas ini sebelum mata ini terpejam buat selamanya.

Juga, semoga kita bisa meningkatkan keimanan dan amal soleh kepada NYA ,serta termasuk dalam kaum yang memikirkan. Insya Allah.

Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kokoh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (meningat Allah). (Surah Al-Qaaf, 50:7-8 )

Tuesday, October 12, 2010

Membina Keyakinan Melalui Minda

Monday, October 11, 2010

Hormati Perbezaan Pendapat

Ramai dikalangan manusia yang tidak mampu berlapang dada menerima pendapat manusia lain walaupun dia mempunyai pendapat sendiri, tidak kira dalam pelbagai urusan. Peniaga dengan cara peniaga, agamawan dengan cara agamawan. Kadang-kadang perbezaan sampai kepada perkara usul aqidah, ini bahaya.

Perbezaan pendapat sangat baik, kerana ia mencetuskan idea yang berlainan, cara fikir yang berbeza, pengetahuan yang meluas, menentukan jati diri seseorang.Sesungguhnya, "ikhtilaf itu rahmat". Yang menjadi rahmat itu apabila masing-masing berbesar hati menerima dan bersedia berhujah dengan hujah ilmiah tanpa di dorong dengan nafsu amarah.

Perumpamaan

Tiga orang pelajar yang duduk di dalam kelas dan memandang ke luar, seorang melihat kepada pokok, seorang lagi melihat kepada awan, dan seorang lagi melihat kepada kereta guru, semuanya pasti mempunyai tafsiran berbeza terhadap objek. Tuhan menciptakan manusia ini berbeza dari segi cara berfikir. Itulah kehebatan tuhan. Dalam berbilion-bilion manusia jarang sekali mempunyai pendapat yang sama pada waktu yang sama.

Oleh sebab itulah kita harus menerima perbezaan pendapat, walaupun ramai yang tidak mampu menerima kerana sudah terbiasa di didik dengan 'rasa betul'. Apabila berlaku perbezaan, hatinya cepat marah. Orang-orang cerdik mengatakan "cerek yang kecil lebih mudah panas, begitu juga orang yang berhati kecil".

Kenapa perlu merasa panas hati apabila orang lain berpendapat berbeza? pengalaman kehidupan manusia itu tidak pernah sama. Si A memandang pokok kelapa kerana dia hanya mempunyai pengetahuan tentang buahnya, tetapi si B apabila memandang pokok kelapa, dia tahu dari daun, batang sehingga ke buah mempunyai kegunaan tersendiri.

Begitu juga orang yang belajar. Kita mungkin belajar pada tempat berbeza dengan guru yang berbeza. Pemahaman kita dengan orang lain sudah tentu berbeza. Mana mungkin Si A belajar dengan guru B tetapi mengetahui apa yang diajarkan oleh guru C pada masa yang sama.

Sikap kita melambangkan siapa kita.

Orang yang tidak boleh menerima pendapat orang lain, bermakna dia orang yang berfikiran negatif dan selalunya baran. Orang begini tidak boleh bekerja secara berkumpulan atau menghadiri mesyuarat apa pun, kerana pasti mendatangkan masalah.

Pernah suatu ketika seorang ahli falsafah yang bernama Galileo Galilei yang lahir di Pisa pada tahun 1564 ditangkap oleh pihak gereja pada zamannya hanya kerana berbeza pendapat dalam hal samada bumi itu bulat atau tidak. Beliau mendapati bumi itu bulat, ini bermakna dia bertentangan dengan pendapat gereja kerana kepercayaan gereja ketika itu adalah bumi itu leper, Justeru , dia ditangkap kerana berbeza pendapat dengan pihak gereja.

What you see is what you get

Cerdik pandai pernah mengatakan"Cara kita melihat menentukan siapa kita". Benarlah begitu, kerana seseorang yang menjadikan suasananya positif pasti akan melihat semua perkara adalah positif. Hadapilah perbezaan pendapat dengan senyuman nescaya masalah itu pasti senyum kembali kepada kita.

Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa sudut yang kita ketahui sebenarnya mempunyai sudut lain yang belum kita ketahui. kadang-kadang kita tidak nampak dalam diri ada kekurangan, dan sebab itulah kita perlu teman untuk memberitahu. Itulah adatnya apabila menubuhkan kerajaan pasti ada pembangkang. Inilah fungsinya. Kerajaan yang tidak mampu menerima kritikan pembangkang adalah kerajaan yang lemah!.

Kesimpulan

Jadilah manusia yang cerdik dalam member pendapat dan juga menerima perbezaan pendapat. Lihat sahaja Umar dan Abu bakar, dua sahabat Nabi yang sangat di hormati, mereka dapat menerima antara satu sama lain walaupun mempunyai banyak perbezaan pendapat. Mereka adalah manusia yang cerdik dan pintar. Seharusnya orang yang ingin menjadi cerdik dan pintar mencontohi akhlak mereka.

Mengakui kelemahan diri itu sebenarnya bukan hina malah itu lah sifat hamba yang soleh. Sebenarnya musuh yang paling hebat di dunia ini ialah diri kita sendiri. Orang lain tidak mampu membuat kita risau kecuali diri kita sendiri yang membuatnya risau.

Ikhtilaf – perbezaan pendapat

Sunday, October 10, 2010

Hebatnya Seorang Ibu

'Ibu' adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dalam kotak memori setiap insan. Pertarungan nyawa dan ketabahan menahan kesakitan mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak bukanlah perkara asing dalam catatan diari hidup seorang ibu. Itulah tugas yang tercatat sebagai seorang ibu yang benar-benar berfungsi dalam mendidik anak-anak.

Air mata, kelembutan, kasih sayang dan teman di masa susah atau senang adalah sebuah nukilan khas yang boleh saya dedikasikan buat ibu saya. Malah hemat saya juga tersemat utuh menyatakan semua ibu di dunia ini punya rasa yang sama. Naluri keibuan ini adalah sunnatullah yang tercipta bermula daripada Hawa AS. Jadi semestinya semua ibu, bakal ibu malah semua wanita mempunyai sifat-sifat yang saya nyatakan. Semestinya benar, bukankah begitu?

Dulu, Kisah sebuah memori

Masih tersemat utuh dalam ingatan saya betapa ibu saya cukup mudah mengalirkan air mata. Semasa saya atau adik saya dirotan ayah, ibulah selalunya akan membela dengan aliran air mata. Semasa kakak saya yang sulung melangkahkan kaki meninggalkan rumah mengikut suami selepas majlis akad dilangsungkan, ibu saya menghantar pemergiannya dengan linangan air mata. Masa itu saya cukup pelik kenapa ibu saya menangis sedangkan kakak saya pergi secara terhormat mengikut suami. Masa itu saya buntu tidak berjawapan.

Suri rumah sepenuh masa menjadikan anak-anak amat rapat dengan ibu. Masih terbayang di minda saya hingga kini betapa kalutnya ibu saya setiap pagi menyediakan sarapan sebelum saya dan adik-adik ke sekolah. Sememangnya saya antara anak yang cukup susah untuk makan pagi sekalipun dengan hanya minum teh dan apa yang pasti ibu saya akan membawa minuman hingga ke pintu luar dan akan pastikan saya mengambil sarapan walaupun dengan hanya seteguk air.

Masih terngiang kata-kata ibu bila saya mula berdegil tidak mahu bersarapan, "Minum lah sikit baru cergas dalam kelas" atau kadang-kadang ibu juga mengugut jika saya tetap berdegail, "Tak baik tu, minum sikit nanti tak berkat belajar". Mungkin kerana takut dengan ugutan, saya selalunya akan memaksa diri minum juga walau seteguk.

Tabiat saya yang jarang bersarapan melekat hingga kini kerana tiada siapa lagi yang boleh memaksa saya bersarapan. Tapi yang agak melucukan apabila ibu saya selalu berpesan dicorong-corong telefon setiap kali saya saya menelefon rumah atau melalui SMS dengan 3 perkara; kerapkan mandi, ambil sarapan dan banyakkan minum air. Tapi biasalah saya memang degil...

Kisah ibu saya yang murah air mata terhadap anak-anak saya panjangkan dengan kisah kakak sulung saya. Ketika abang ipar saya menyambung pengajian di UKM sejurus sahaja lahir anak sulung menjadikan hidup mereka sekeluarga agak susah. Hidup di Kuala Lumpur menjadikan kesempitan mereka kian parah. Berbekalkan gaji sebagai kerani sekolah kakak saya yang tidak sampai ke angka 1000 dan separuh gaji suami lantaran bercuti menyambung pengajian sepenuh masa sebagai guru menjadikan hidup mereka kian terhimpit.

Hidup menyewa di rumah setinggan yang rata-rata didiami warga Indonesia menjadikan hati saya pilu dan kadang-kadang mata saya juga berkaca. Pernah saya berseloroh pada kakak saya untuk membawa pulang Along (anak sulung kakak saya) ke kampung bila lahirnya anak yang kedua. Reaksi yang saya terima hanyalah linangan air mata tanpa kata. Kakak saya menangis bila ada sahaja cadangan mahu memisahkan dia daripada anak-anak. Tekadnya biarlah susah macam mana sekalipun asalkan anak-anak tetap bersama.

Niat saya semasa memberikakan cadangan untuk membawa pulang anak sulung kakak saya ke kampung dan dipelihara ibu saya lahir daripada rasa kesian yang amat sangat dengan kesempitan yang dialami. Mudah-mudahan kesusahan tersebut dapat dikurangkan.

Pernah suatu ketika semasa melahirkan anak kedua, semasa dalam pantang 40 hari kakak saya ke klinik dengan menaiki bas bersama 2 anak. Anak sulung berumur setahun setengah dipimpin dan anak ke dua yang baru berumur sebulan didukung dengan menaiki bas untuk ke klinik dalam kesesakan kota. Hati mana yang tidak sedih bila mendengar khabar susah kakak sebegitu. Tidak mampu saya bayangkan betapa susahnya hidup mereka anak-beranak.

Namun semuanya diceritakan selepas abang ipar saya tamat pengajian dan sekarang sudahpun menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang Psikologi Dan Pendidikan Khas Kanak-Kanak Istimewa. Sesungguhnya perlu saya iyakan, disebalik kehebatan seorang lelaki rupanya ada jasa insan tabah yang bernama isteri.

Kini, Kisah Sebuah Realiti

Pandangan saya bahawa ibu saya hanya mampu menangis bila berpisah dengan anak-anak rupanya meleset. Dalam Majlis Konvokesyen apabila saya naik ke pentas untuk berucap mewakili pelajar ibu saya langsung tidak menangis. Semasa di lapangan terbang ketika menghantar saya ke Mesir, ibu saya juga tidak menangis. Masih saya ingat senyuman dan pelukkan terakhir tersebut langsung tidak menunjukkan reaksi sedih malah ibu saya nampak tenang dan gembira. Apa yang terbaliknya saya pula yang sebak dan mata saya sedikit berkaca sebagaimana ayah saya juga.

Lama saya berfikir kenapa ibu saya mula bertegas dan tidak menangis ketika menghantar saya di Airport. Seminggu selepas itu saya menelefon ibu saya dan saya straight bertanya kenapa demikian jadinya. Ibu saya bercerita bahawa 3 tahun beliau bersedia dengan perpisahan ini sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke KIAS, Nilam puri dan bertegas untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Katanya lagi, kini tiada apa lagi yang mahu disedihkan kerana hasratnya untuk melihat saya menjadi seorang berilmu kian hampir.

Ibu saya tidak menaruh harapan yang terlampau tinggi terhadap saya dan adik-beradik lelaki yang lain. Katanya beliau sudah puas hati sekiranya anak-anak berilmu, mampu menjadi imam di masjid dan mampu berkongsi ilmu dengan orang kampung. Pada saya tanggungjawab itu susah dan harapan itu tinggi.

Thursday, October 7, 2010

Mari Koreksi Diri

Alhamdulillah atas nikmatMu ya Allah, kurniaan yang melimpah ini kadangkala membuatkan aku terlupa untuk mensyukuri nikmatMu. Dalam kesibukan mengejar dunia ini, pernahkah kita terfikir untuk memperbaiki diri? Adakah cukup amalan kita?

Bagaimana dengan perhitungan di akhirat yang pasti terjadi? Bersediakah kita? Mungkin kita biasa mendengar perkataan muhasabah, terutama apabila kita berada di akhir sesuatu program, kita diajak untuk bermuhasabah. Namun, sejauh mana penghayatan kita terhadap maksud muhasabah tersebut? Muhasabah. Berasal dari perkataan hisab, iaitu menghitung. Mengapa kita perlu menghitung amalan kita? Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr (59:18):



18. Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.

Jelas daripada ayat ini kita memang dituntut untuk menghitung amalan kita. Andai dalam kehidupan harian kita sibuk merancang dan menghitung budget dan merancang untuk pelbagai perkara, mengapa pula kita terlupa untuk menghitung bekal amalan di akhirat kelak?. Dalam ayat seterusnya (59:19) Allah memberi peringatan untuk kita tidak melupakan perintah-perintahNya.

19. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik (derhaka).

Perkaitan antara kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa kita menghitung diri adalah dengan mengikuti perintah Allah. Islam sebagai agama petunjuk kepada penganutnya. Ia bukan hanya teori tapi praktikal untuk setiap urusan manusia. Yang membezakan seorang muslim dan mukmin adalah pada amalannya. Sepertimana Allah menekankan dalam ayat seterusnya (59:20):

20. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat Segala Yang diingini).

Memang berbeza antara dua golongan ini. Ibarat langit dan bumi. Jurangnya sangat ketara antara penghuni syurga dan neraka. Salah satunya dalam rahmat dan satu lagi dalam kelaknatan. Jadi timbanglah dengan neraca iman, ke mana lebihnya kita? Ke jalan redha atau kebencian Allah? Jadi di sini saya ingin berkongsi beberapa cara untuk bermuhasabah, semoga dapat memberi manfaat.

01.Mengingati mati. Ini cara terbaik untuk bermuhasabah. Mengingatkan diri tentang kematian yang pasti terjadi membantu kita mengkoreksi diri. Secara tidak langsung menjadi pendorong untuk kita menambah amal kebaikan.

02.Mengingati kelemahan diri. Dengan kita menilai kelemahan diri kita secara tidak langsung membantu dalam memperbaiki kelemahan diri. Cara lain ialah dengan menukar kelemahan itu menjadi kekuatan. Sebagai contoh kita cuba kurangkan sifat suka berkata perkara-perkara lagha dengan berzikir, mungkin nampak jauh sangat perbezaannya, namun andai cuba diamalkan, InsyaAllah akan jadi kekuatan akhirnya.

03.Tidak membesarkan kekurangan orang lain. Janganlah dibesar-besarkan kekurangan orang lain kerana hakikatnya Allah menutup-nutup kekurangan kita. Andai kita menutup kelemahan orang lain, Allah akan melindungkan kelemahan kita.

04.Menjadikan kebaikan orang sebagai kayu ukur untuk kita. Dalam hal amalan kebaikan, amatlah wajar untuk kita meniru orang lain. Jadikan ia sebagai penanda aras untuk kita dan letakkan sasaran untuk menjadi yang lebih baik dari orang lain.

05.Menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama. Sangat jelas bahawa Nabi junjungan mulia contoh terbaik buat kita. Mulakan dengan mengamalkan perkara-perkara yang menjadi sunnah baginda.

06. Berdoa sebanyak-banyaknya agar Allah mudahkan kita untuk berubah dan memperbaiki diri. Allah yang memegang hati kita dan Dia jugalah mampu membuka hati kita untuk suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan. Hidayah itu milik-Nya jua.

Sahabat-sahabatku, Marilah kita sama-sama bergerak dan bertindak ke arah perubahan yang InsyaAllah mengundang redha Allah, biiznillah. Doakan moga kita berjaya bermujahadah ke arah kebaikan dan kekal istiqamah dalam beramal..ameen. Wallahualam...

Wednesday, October 6, 2010

Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)

"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)

"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)

"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)

"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)

"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)

"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)

"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)

"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayangmu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.

Tuesday, October 5, 2010

Kisah Benar Solat Berjemaah -from iluvislam.com

Berjalan menuju solat berjemaah di masjid merupakan salah satu cara memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Hal itu didasarkan pada firman Allah (lihat kitab Tuhfatu al-Ahwadzi bi Syarhi Jami' at-Turmudzi, IX/104), "Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." - QS. An-Nahl: 97

Ini adalah kisah benar dari daerah Bekasi, Jawa Barat.

Seorang lelaki bernama Haris (bukan nama sebenar) adalah dahulunya seorang pemuda yang jarang solat berjemaah di masjid.

Dia ke masjid hanya untuk solat Jumat atau solat di Hari Raya.

Malah dia dulu dikenali dengan panggilan 'Playboy'. Setiap tahun dia berganti pasangan. Dia juga dahulu bermain muzik (drummer).

Tidak pula memperhatikan sunah Rasul. Padahal dia adalah anak Pak Haji dan Ketua majlis keamanan Masjid di perumahannya.

Baru ketika dia belajar, hidayah Allah menggiringnya untuk melakukan solat zohor berjemaah di masjid kampusnya.

Setelah selesai solat, ada tazkirah yang didengar Haris. Pemberi tazkirah itu menyebutkan hadits Rasulullah SAW: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah shalat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak." - Shahih Muslim, V/160

Sejak saat itulah Haris mulai memikirkan apa yang sebenarnya terkandung di dalamnya sehingga Rasulullah bersabda manusia akan mendatanginya meskipun dengan merangkak.

Haris pun mulai melaksanakan solat Isyak berjemaah di masjid malam harinya, dan dilanjutkan dengan Subuh berjemaah di masjid dekat rumahnya untuk mencuba merasakan apa yang sebenarnya dimaksudkan Nabi.

Selalu terlindung dari musibah

Haris ketika itu masih belajar di jurusan sastera Inggeris.

Setiap kali setelah dia pulang kuliah, dia mengajar kelas tuisyen kepada anak-anak kecil maupun orang dewasa.

Hampir lulus ijazah pertama, dia sudah ditawarkan pekerjaan melalui panggilan telefon dari sebuah syarikat untuk menjadi wartawan.

Haris mulai merenungkan apakah ini yang dimaksud manfaat dari solat Isyak dan Subuh berjemaah di masjid, rezeki begitu mudah diraih tanpa susah-susah mencari sedangkan banyak temannya yang mencari ke mana-mana tapi tidak diterima.

Akhirnya Haris lulus ijazah dan sempat menjadi wartawan di syarikat tersebut.

Tetapi pekerjaan menjadi wartawan tidak menentu waktunya.

Hari Sabtu dan Minggu harus bersedia untuk dipanggil bekerja. Pulang dari kerja selalu lewat. Haris jadi jarang solat Isyak di masjid.

Waktu subuh dia perlu bertolak ke tempat kerja agar tidak terlewat.

Sejak itu pula dia mula meninggalkan kebiasaannya mendengar dan bermain muzik.

Semuanya terlalu memenatkan dan tidak sesuai dengan jiwa Haris yang terbiasa mengajar.

Kalau sudah kepenatan, dia sering mengantuk ketika menunggang motor.

Dia bernasib baik kerana Allah masih menjaganya walaupun Haris mulai leka dalam melaksanakan solat berjemaah di masjid kerana pekerjaannya itu. Allah sedang mengujinya.

Harris pun keluar kerja agar tidak terlalu penat, boleh berjamaah di masjid, dan berniat memulakan perniagaan sendiri.

Sebelum dia sempat memulakan perniagaannya, Allah telah memberinya rezeki yg telah dijanjikan.

Dia mendapat pesanan menerjemahkan buku luar negeri dari sebuah penerbit yang hasilnya boleh membuat dia bertahan beberapa bulan sampai dia mendapat pekerjaaan tetap yang lain.

Bekerja dari rumah membuat Haris makin rajin solat berjemah di masjid.

Dia mulai merasakan perubahan ke arah yang lebih baik dibanding dengan ketika dulu ia jarang solat berjemaah di masjid.

Ditinggikan Darjatnya oleh Allah

Allah memuliakan orang yang mendatangi masjid. "Barangsiapa berwudhu di rumahnya kemudian dia mendatangi masjid, maka dia sebagai orang yang mengunjungi Allah, dan merupakan kewajiban bagi yang dikunjungi untuk memuliakan pengunjung-Nya." HR. Thabrani, VI/253, nombor 6139 dan 6145

Haris tetap sabar dan tekun terhadap terjemahannya.

Malah dia berpikir dan bersyukur masih diberi rezeki dan anugerah menerjemahkan buku seperti itu.

Berkat kesabaran dan rasa syukurnya, Allah kembali memberinya pekerjaan tetap dalam waktu terdekat.

Kali ini dia bekerja sebagai guru di sebuah sekolah antarabangsa, sebagai guru Bahasa Inggeris.

Tempat kerja Haris cukup jauh dari rumahnya.

Tapi dia menjalankannya dengan senang dan semangat, kerana serasi dengan jiwanya.

Dia juga masih boleh menjalankan solat Isya dan Subuh berjemaah di masjid.

Haris mulai merasakan inilah yang dimaksud Allah melalui sabda Nabi tadi. Banyak manfaat yang terkandung di dalam solat Isyak dan Subuh berjemaah di masjid:

Bagi Haris, mendapat ganjaran pahala kerana mengajarkan ilmu-ilmunya adalah suatu balasan dari Allah yang sangat baik.

Meskipun bekerja dengan senang hati dan penuh semangat, tidak bererti Haris tidak pernah kepenatan. Kerana lokasinya yang jauh, setiap kali pulang kerja Haris selalu mengantuk di motor. Sudah lebih dari tiga kali dia hampir mengalami kemalangan motor. "Dan (dirikanlah pula solat Subuh). Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat)". (QS Al Isra: 78 ).

Dia bercerita, pada ketika itu,dia tertidur di motor, dia hampir ,melanggar ppembahagi jalan raya dan masuk ke tol. Allah mengirimkan malaikat-Nya untuk membelokkan motornya ke jalan yang benar. Di waktu yang lain, dia juga pernah menaiki motor sambil tidur dan mengarahkan motornya ke arah yang berlawanan. dia bernasib baik kenderaan dari arah bertentangan tidak melanggarnya dan Allah segera membangunkannya. "... Dan seseorang yang berangkat ke masjid, dia akan selalu berada dalam jaminan Allah sehingga Dia mewafatkannya lalu memasukannya ke surga atau menyerahkan kepadanya pahala dan ganjaran yang diperolehnya. ..." - Shahih Sunan Abi Dawud, II/473

Dari Jundab bin Abdullah ra., dia bercerita, Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa mengerjakan sholat subuh, maka dia akan selalu berada dalam jaminan Allah." - Syarhu an-Nawawi 'alaa Shahih Muslim, V/164

Sekarang Haris sudah menjadi pengetua Sekolah di tempatnya bekerja.

Saat Haris ditawarkan jawatani menjadi pengetua, umur Haris saat itu baru 24 tahun dan dia baru bekerja di situ dua tahun! Maha Besar Allah lagi Maha Penyayang.

Mari kita semua berdoa agar diberi hidayah oleh-Nya, diberi rezeki dari-Nya, diberi kemudahan untuk melangkahkan kaki ke masjid, dan boleh mengajak orang lain untuk melaksanakan sholat berjamaah di masjid.

Nabi Nuh tidak mampu memberikan petunjuk kepada anak lelakinya, Kan'am; Ibrahim tidak mampu memberikan hidayah dalam hati ayahnya; dan Rasulullah tidak sanggup memberikan hidayah kepada pakciknya, Abu Thalib.

Maka tugas kita semua adalah memohon petunjuk kepada Allah.

Dia berfirman, "Maka mintalah hidayah kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikan kalian hidayah." Siapa sahaja yang meminta hidayah kepada Allah, Dia akan memberinya hidayah. Hidayah ini meliputi hidayah ilmu dan hidayah taufik. Berapa banyak waktu terbuang untuk bermain di depan komputer? Sedangkan kita sukar sekali meluangkan waktu beberapa minit saja untuk melangkahkan kaki ke masjid padahal melangkahkan kaki ke masjid satu langkahnya menghapus dosa dan langkah lainnya mengangkat darjat."

"Tidaklah seseorang bersuci lalu dia melakukannya dengan sebaik-baiknya kemudian dia berangkat menuju ke salah satu masjid melainkan Allah telah menetapkan baginya kebaikan bagi setiap langkah yang diayunkannya, dengannya Dia akan meninggikan dirinya satu derajat, serta menghapuskan darinya satu kesalahan..." - HR. Muslim

Monday, October 4, 2010

Rindu Nabi Muhammad Terhadap Kita

Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan.

Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.

..................................................

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.