KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Monday, November 9, 2009

Semakin Kita Beremosi Semakin Akal Tidak Berfungsi



Seorang gadis dimasukkan ke hospital kerana mengambil paracetamol berlebihan. Dia menelan berpuluh-puluh biji pil tersebut sekali gus. Berlaku tindak balas yang teruk kepada bahagian hati dan hampir-hampir saja tindakannya itu meragut nyawanya. Di atas katil hospital dia menceritakan sebab bagi kewajaran tindakannya.


“Saya bercinta dengan seorang pemuda dalam satu kisah yang panjang…” gadis itu memulakan cerita.


“Kami menemui keserasian sejak dari umur kanak-kanak. Kami bersekolah tadika sama, sekolah rendah dan sehinggalah peringkat menengah.” Ceritanya lancar sekali seperti menjeling zaman lampaunya yang indah semerbak.


“Saya tahu dia tercipta untuk saya…Saya pula tercipta untuknya.” Begitu puitis ceritanya seperti lagu-lagu cinta.


“Saya pasrahkan diri untuknya. Saya hanya ada dia bagi masa depan saya. Dia juga begitu, kami bersama meniti hari buat memadu ikatan berkekalan. Gerbang perkahwinan.” Ujarnya tersusun dalam irama sedikit yakin.


“Namun….apabila selesai SPM, keputusan peperiksaan saya teruk tetapi dia berjaya melanjutkan pelajaran ke university.”


“Di sinilah bermula segala-galanya berubah. Hari demi hari mendatang dia telah jadi orang lain, saya seakan-akan tidak mengenalinya sama sekali.” Dia seperti akan menangis bagi mengakhiri bicaranya.


“Memang pada permulaan berjauhan, setiap saat kami berhubungan melalui telefon. Kerinduan bagai badai yang mengaramkan kami dalam samudera rindu.”


Sekali lagi dia berpuisi menghirup nafas yang dalam bersama memori terindahnya.


“Tidak lama kemudian saya merasakan ada sesuatu kelainan apabila dia mula menyepi. Begitu sukar untuk menghubunginya, saya tidak tahu apa nombor telefon barunya.”


Wajahnya bertukar merah, air mata mula mengalir dari kelopak matanya.


“Akhirnya saya dapat tahu dia telah punya orang lain dalam hidupnya sedangkan saya di sini terpanggang menanggung derita keseorangan.”Esakannya kian kuat.


“Pada suatu hari dia datang berjumpa saya dan secara rasmi memberitahu bahawa kami bukan pasangan yang sesuai. Perhubungan yang kami bina bertahun-tahun seperti tiada apa-apa makna dan diputuskan begitu saja.”

Kekecewaan jelas terpancar pada utas-utas bicaranya.


“Selepas pertemuan itu saya menghabiskan masa menyendiri, berfikir tentang diri sendiri mengingat memori indah serta sembilu yang disayat-sayat kepada hati saya yang begitu menyakitkan. Saya tidak menemui selain daripada kesakitan yang sangat dalam, hidup saya telah musnah, saya tidak punya masa depan lagi. Saya tidak perlu hidup lagi.”


Tangisannya kuat, ledakan emosinya begitu menggetarkan. Bicaranya kemudian berulang-ulang atas benda yang sama.


Cerita ini sebenarnya tiada kesimpulannya, ia hanya mengenengahkan sebuah kisah yang mana secara intelek kita boleh berkata :


“Wahai gadis, apalah yang ada pada pemuda itu sehingga sanggup anda mengorbankan nyawa yang sangat berharga kerananya?”


“Apalah sangat kesakitan berbanding masa depan gemilang yang menanti untuk bertemu dengan pemuda lain yang jauh lebih baik daripadanya?”


“Kecilnya masalah itu, ada ramai lagi orang lain di luar sana yang sedang menanggung derita yang lebih parah tetapi tidak terlintas pun untuk membunuh diri!”


Itu hujah kita, kenapa begitu rasional??

Kerana kita tidak mencampurkannya dengan emosi negatif.


Kenapa pula gadis tadi tidak boleh berfikir begini??

Kerana dia menyeret seluruh emosinya sekali.


Kita telah menemui di mana punca kepada persoalan yang sering berlaku dalam kehidupan manusia. Kenapa manusia tidak dapat mencari jawapan walaupun kelihatan masalah itu sangat mudah.


Kenapa masalah tersebut masih menggelutinya??

Jawapannya, rasional hilang dan akhirnya dia tidak menemui cahaya sehingga ke hujung lorong permasalahan.

Begitulah bahayanya gelutan emosi negative dalam diri. Sama ada emosi itu dalam soal perasaan tentang cinta atau kemarahan membara, ia sama sahaja. Ini adalah kerana apabila kita beremosi, kita hanya fikir benda yang sama, akal jadi sangat tumpul.


Cuba kita lihat orang yang sedang marah atau mabuk cinta, perkataan yang keluar dari mulutnya ialah benda yang sama, ibarat satu kitaran yang bergelung. Ia seperti berlegar-legar dalam sebuah kotak besi yang terkatup rapat. Tidak jumpa jalan keluar.


Apabila emosi ini terus dilayan, ia akan menjadi seperti bebola salji yang digolekkan dari atas ke bawah bukit. Daripada asalnya hanya sebesar bola sepak, bulatan itu boleh jadi sebesar kereta!! Justeru itu, sekiranya kita mahu selamat dan maruah terus terpelihara, ketika emosi terpancing, sedarkan diri bahawa kita sedang dalam zon penyingkiran waras, keupayaan akal merudum teruk sehingga kuasa naluri pun turut lumpuh.


Asingkan suara dalam, bezakan antara gejolak emosi dan ilmu serta fitrah murni. Sekiranya ini tidak dapat diatasi, apa lagi yang masih tinggal pada manusia ini untuknya membuat keputusan dan bertindak??


Jawapannya : JANGAN HARAP!


*Artikel asal oleh Buku motivasi U-Turn Kembali ke Jalan yang Lurus oleh Ust. Align CenterZul Ramli

0 comments:

Post a Comment