KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Sunday, May 16, 2010

Peranan Guru Dalam Mencegah Jenayah Seksual

Peranan Guru Dalam Mencegah Jenayah Seksual
‘Susulan Bayi Kena Jerut: Lahir 3 Anak Luar Nikah.’ (Harian Metro, 10 Januari 2008). Begitulah tajuk-tajuk akhbar yang menjadi pembuka tirai episod jenayah tahun 2008. Kes-kes salah laku seksual kini menjadi bahan perbualan dan polemik umum malah laporan mengenai kes rogol kepada kumpulan hak asasi wanita serta organisasi bukan kerajaan (NGO) dan juga di dalam akhbar adalah perkara biasa.

Menurut laporan akhbar, seramai 1,462 wanita telah dirogol dalam 10 bulan pertama tahun 2005 yang mana ia hanya 10 peratus daripada keseluruhan kes rogol yang telah dilaporkan kepada pihak polis.

Pelacuran kanak-kanak juga wujud malah merujuk kepada statistik polis pada tahun 2002, 97 gadis berusia di bawah 18 tahun telah ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan kerana terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral, lihat Seksyen 5, Perdagangan Manusia, (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).

Dewasa ini, mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral sering dianggap sebagai subjek pelengkap dalam kalangan pelajar. Dengan kata lain, subjek dipelajari hanya disebabkan subjek adalah mata pelajaran wajib yang diambil kira dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Justeru itu, para pelajar kurang penghayatan terhadap subjek ketika proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kurang penghayatan dalam mata pelajaran kerohanian ini akan memberikan pelbagai implikasi negatif yang membimbangkan. Antaranya, wujud gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang membabitkan kes-kes jenayah terutama salah laku seksual seperti yang tersebut di atas.

Ini selari dengan pegangan mazhab idealisme yang memberi fokus kepada akal, jiwa dan kerohanian. Akal, jiwa dan kerohanian adalah penting dalam kehidupan kerana kebenaran menurut mazhab ini hanyalah bergantung kepada tiga perkara tersebut, (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2008:2).

Memandangkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral merupakan satu-satunya mekanisme yang mampu membina jiwa, membentuk kerohanian dan memupuk akhlak mulia dalam diri pelajar, guru-guru sewajarnya memainkan peranan mencegah salah laku seksual dengan menekankan penghayatan subjek-subjek ini kepada pelajar di sekolah. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Amir Hasan Dawi (2006: 242), Ibn Khaldun dan Al-Qabisi berpandangan bahawa pendekatan dalam pembentukan disiplin pelajar atau mengatasi salah laku pelajar perlu diterapkan dalam kegiatan kurikulum dan kokurikulum. Begitu juga disiplin boleh diterapkan melalui pembelajaran formal. Justeru, pelbagai cara dan langkah boleh diambil oleh guru dalam menekankan penghayatan subjek Pendidikan Islam dan Moral.

Perkara paling asas yang perlu diambil perhatian terhadap pelajar hari ini adalah pemeliharaan pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan kerana pergaulan yang melampaui batasan merupakan akar umbi kepada salah laku seksual. Dalam situasi keruntuhan moral yang semakin meruncing kini, saya menyokong tindakan guru-guru mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan dalam isu yang digembar-gemburkan baru-baru ini di mana sebuah sekolah menengah di Taman Seremban Jaya di sini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa kerana mengasingkan pelajar perempuan dan lelaki dalam semua aktiviti termasuk ketika membeli makanan di kantin, (Harian Metro, 10 Januari 2008).

Berdasarkan teori perkembangan psikoanalisis Sigmund Freud; pada peringkat Genital (12 tahun ke atas), remaja mula menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Ketika ini, kelenjar-kelenjar kelamin sudah mula berfungsi sebagai sumber kenikmatan dan wujud perasaan cinta dua arah. Kesulitan-kesulitan yang timbul pada peringkat ini akan menyebabkan ketegangan yang berhubung dengan masalah seks, (Ramlah Jantan dan Mahani Razali, 2002).

Oleh kerana itulah syariat Islam diturunkan untuk mengatur hubungan antara manusia. Hubungan di antara manusia itu termasuklah mengatur bagaimana individu manusia yang berlainan jenis seharusnya bergaul.

Di dalam Islam, hukum asal bagi kehidupan lelaki dan wanita adalah terpisah (diasingkan). Islam melarang percampuran di antara lelaki dan wanita kecuali di dalam hal yang memerlukan interaksi seperti jual-beli, bekerja, perubatan, pertanian, industri dan sebagainya. Namun, apabila berada di luar urusan yang memerlukan interaksi tersebut, maka seorang wanita haram melakukan interaksi dengan lelaki kecuali dengan mahramnya. Tidak timbul masalah perkembangan remaja akan terganggu kerana pengasingan pelajar lelaki dan perempuan dalam pendidikan telah diamalkan dalam Islam semenjak zaman Nabi sehinggalah era kegemilangan ilmu empayar Khilafah Uthmaniyah, malah telah terbukti bahawa mereka berjaya menghasilkan masyarakat yang tidak terjejas tetapi bertamadun tinggi dan harmoni.

Bukan itu sahaja, sistem persekolahan Inggeris yang dipandang tinggi oleh masyarakat itu juga mengamalkan pengasingan di antara murid lelaki dan perempuan suatu ketika dahulu. Saya percaya guru memiliki tanggungjawab besar dalam memelihara pergaulan di antara pelajar lelaki dan perempuan dengan mewujud serta menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sewaktu kelas mahupun sepanjang sesi persekolahan.

Selain pengasingan di antara pelajar lelaki dan perempuan, guru boleh memilih untuk menguatkuasakan peraturan lain sebagai alternatif yang lebih longgar dan mudah dilaksanakan. Antaranya, melarang pelajar lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan dan bersentuhan terutamanya jika pelakunya adalah pelajar muslim.

Guru juga perlu menegur pelajar lelaki yang mengusik pelajar perempuan secara berlebih-lebihan serta pelajar lelaki dan perempuan yang bergurau senda melampaui batasan. Dalam menjalankan fungsinya di sekolah, guru sepatutnya dapat mengubah cara hidup pelajar sungguhpun di luar sekolah pelajar itu mungkin berdisfungsi. Dalam usaha mendisiplinkan pelajar, guru mungkin menggunakan kaedah penguatkuasaan dengan mengetatkan peraturan dan hukuman, (Amir Hasan Dawi 2006:239).

Berpakaian sopan merupakan etika yang sepatutnya diamalkan oleh pelajar perempuan lebih-lebih lagi dalam masyarakat Malaysia yang sememangnya berpegang teguh kepada pengamalan budaya dan adat ketimuran. Pakaian yang terdedah boleh membawa kepada berlakunya gejala-gejala sosial kerana pakaian diibaratkan sebagai umpan untuk menarik perhatian lelaki yang boleh membawa kepada berlakunya seks bebas, rogol, sumbang mahram dan lain-lain.

Dalam hal ini, guru seharusnya memerhati, menegur dan menasihati pelajar-pelajar perempuan yang gemar berpakaian menjolok mata supaya berpakaian sopan di mana-mana sahaja dan ini merupakan salah satu cara menerapkan penghayatan subjek Pendidikan Islam dan Moral. Antara kepentingannya adalah untuk mengelakkan pelajar perempuan diganggu oleh kaum lelaki sewaktu keluar dari rumah malah ketika berada di dalam rumah juga pelajar perempuan sewajarnya berpakaian sopan atau tidak terdedah untuk mengelakkan rangsangan seksual kepada ahli keluarga lelaki. Tambahan pula, kejadian kes sumbang mahram telah berlaku secara berleluasa akhir-akhir ini.

Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga melaporkan 306 kes sumbang mahram pada tahun 2002 dan pada bulan September 2005, media tempatan telah melaporkan bahawa berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap 133 orang pesalah laku seksual, 23 peratus daripada mangsa adalah anak perempuan mereka sendiri, (Biro Demokrasi, Hak Asasi dan Buruh, 2005).

Ahli sosiologi, psikologi dan pendidik bersependapat mengatakan penampilan seksi wanita adalah salah satu punca berlaku kejadian rogol.

Saya meyakini bahawa semua agama di dunia ini menggalakkan penganutnya berpakaian sopan atau menutup aurat. Berikut merupakan seruan kepada penganut Islam yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (Surah an-Nur: 31)

Kes-kes salah laku seksual timbul apabila Pendidikan Agama dan Moral dikesampingkan dari fokus dan tumpuan pelajar. Maka, terhasillah pelajar yang degil, pemarah, keras hati dan bebal. Ditambah dengan tekanan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, maka emosi mereka menjadi tidak terkawal. Kalau pun ada pelajar yang cemerlang akademiknya, maka mereka yang lahir nanti ialah ahli profesional yang tidak beretika dan bertanggungjawab.

Seorang pensyarah pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia pernah berkata bahawa sistem pendidikan yang menekankan aspek akademik dan keintelektualan semata-mata hanya akan melahirkan produk (individu) berkelulusan akademik cemerlang, tetapi kosong daripada aspek etika dan nilai-nilai murni sebagai seorang manusia.

Justeru itu, suatu langkah yang lebih menyeluruh perlu difikirkan dan diambil bagi menilai aspek penghayatan pelajar dari segi agama dan moral. Suasana yang kondusif ke arah pembentukan akhlak dan moral yang baik perlu diwujudkan di sekolah, dalam keluarga dan masyarakat. Hanya dengan suasana yang saling menyokong ini, pelajar-pelajar yang berakhlak dan bermoral dapat dilahirkan.


0 comments:

Post a Comment