KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Thursday, July 9, 2009

ERA GLOBALISASI



Menurut Kamus Dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cendikiawan Barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.
Alvin Toffler menerusi bukunya “Third Wave” pula mentafsirkan fenomena globalisasi sebagai suatu gelombang ketiga:
“…Kita sedang berada pada abad di mana berlaku gelombang ketiga. Fenomena paling menonjol yang tengah terjadi pada kurun waktu ini adalah terjadinya proses globalisasi. Perubahan yang demikian menyebabkan terjadinya pula pergeseran kekuasaan dari pusat kekuasaan yang bersumber pada tanah, kemudian kepada kapital atau modal, selanjutnya (dalam gelombang ketiga) kepada penguasaan terhadap informasi (ilmu pengetahuan dan teknologi)…”
Globalisasi pada John Naisbitt menerusi bukunya “Global Paradox” pula melihat kepada sisi yang lebih positif. Menurutnya, kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi telah membuatkan peranan kuasa dan ideologi mengalami fasa surut. Manakala menurutnya lagi, jika dilihat dari sudut ekonomi, semakin besar dan semakin terbuka ekonomi dunia, semakin perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana akan mendominasi pasaran dunia.
Matlamat globalisasi menurut Ahmad Faraj antara lain adalah untuk menjadikan semua aktiviti hidup setiap bangsa di dunia seperti ekonomi, industri, pemikiran, budaya, keilmuan, ciptaan dan penghasilan industri, hak kemanusiaan, alat perhubungan, teknologi maklumat dan sebagainya itu bersifat global dan tidak lagi menjadi ciri kepada mana-mana bangsa atau sejarah mereka, baik yang bersifat agama, keturunan atau budaya.
Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dahulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini.

0 comments:

Post a Comment