KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Wednesday, July 8, 2009

Rasulullah contoh ikutan terbaik



KELAHIRAN Rasulullah adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa".Rasulullah bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan contoh bagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah adalah 'role model' bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah itu terletak contoh pemimpin yang baik, contoh bapa yang baik, contoh suami yang baik, contoh jiran yang baik, contoh peniaga yang baik, contoh sahabat yang baik dan banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah. Ini kerana umat Islam telah pun dibekalkan dengan contoh keperibadian yang terbaik yang merangkumi segenap aspek iaitu Nabi Muhammad.Sikap sesetengah umat Islam yang mengambil individu tertentu sebagai model ikutan adalah sesuatu yang mendukacitakan. Mereka mengambil pemimpin yang zalim dan penyanyi Barat sebagai contoh ikutan. Apa yang lebih memilukan ada yang menjadikan golongan yang memuja maksiat dan bergelumang dengan najis dadah dan jenayah sebagai contoh ikutan mereka. Sedangkan semua itu bukan mengajak mereka kepada kebaikan tetapi mendorong mereka kepada kebinasaan dan kelalaian semata-mata.Walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah.Sahabat-sahabat pernah bertanyakan kepada saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah. Dia menjawab: "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran".Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah telah menjadikan al-Quran itu sebagai sesuatu yang hidup yang dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Oleh demikian, segala ajaran dan perintah Allah yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui seerah Nabi Muhammad.Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam diri Rasulullah.Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah sebagai 'role model' adalah satu kewajiban dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.

0 comments:

Post a Comment