KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Sunday, July 4, 2010

Hanya Serban, Tongkat & Cawan

Hanya Serban, Tongkat & Cawan
Diceritakan bahawa ketika saat sakaratulmaut datang menjengah Salman al-Farisi beliau menangis sehinggakan sahabat-sahabat yang berada di sekelilingnya merasa hairan lalu bertanya kepadanya : “Apa yang membuatkan kamu menangis wahai Salman?.” Salman lalu menjawab : “Aku menangis kerana teringat sabdaan Kekasihku Rasulullah s.a.w yang berbunyi :

ليكن زاد أحدكم من الدنيا كزاد الراكب

“Hendaklah kamu berbekal untuk kehidupan dunia ini seperti perbekalan orang yang sedang berada di atas kapal.”[i] Sedangkan perbekalan kita adalah dunia itu sendiri dan seluruhnya.” Lalu para sahabat yang berada di sekeliling Salman berkata: Mudah-mudahan Allah mengampuni dosamu wahai Salman. Namun, kami melihat engkau tidak mengambil apa-apa bahagian dari dunia ini melainkan hanya serban, tongkat dan cawan yang menjadi kegunaanmu. Beliau menjawab: “Apakah kamu menganggap remeh hal ini, sesunggunhya aku takut pada hari kiamat nanti ditanya tentang serban, tongkat dan cawanku ini.”[ii]

Allahu rabbi, inilah kehebatan zuhud para sahabat yang terlalu takut untuk mengambil dunia secara berlebih-lebihan melainkan mengambilnya sekadar keperluan untuk hidup. Hebatnya kezuhudan Salman al-Farisi kerana walaupun mengambil dunia sekadar keperluan untuk hidup tapi masih bimbang akan di soal di hadapan Allah di hari akhirat nanti.

Orang yang akan menaiki kapal hanya akan membawa bekalan-bekalan yang penting sahaja yang akan digunakan di atas kapal. Mereka tidak akan membawa segala barang-barang yang dimiliki untuk dibawa bersama mereka di atas kapal. Begitu juga dengan kita yang hidup di dunia ini tidak dapat membawa segala apa yang kita miliki di dunia ini ke dalam kubur melainkan kita hanya boleh membawa amal soleh yang dilakukan sewaktu hidup di dunia.

Cuba hitung diri kita, sejauh mana kita mengambil dunia adakah kita mengambil dunia sekadar keperluan atau kita mengambil dunia seolah-olah kita merasakan bahawa kita tidak akan menemui kematian. Cuba kita bayangkan dengan hanya tiga harta yang dimiliki oleh Salman al-Farisi sewaktu diambang sakaratulmaut pun sudah cukup merisaukannya untuk berdepan dengan persoalan yang akan ditanya oleh Allah bagaimana kita yang memiliki berbagai-bagai jenis harta dan kekayaan?

Dunia Tempat Berbekal Bukan Tempat Berhias dan Berseronok


Sesungguhnya para ulama menyatakan bahawa Allah Talla menjadikan dunia ini kepada 3 bahagian manusia iaitu :


I. Bahagian Mukmin
II. Bahagian Munafik
III. Bahagian Kafir

Golongan pertama iaitu golongan mukmin akan menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk mengumpul bekalan menuju ke akhirat. Mereka tidak lalai dengan dunia dan sedar bahawa dunia ini akan ditinggalkan oleh kerana itu mereka sentiasa bersiap sedia dengan bekalan untuk menuju ke alam akhirat.

Golongan kedua iaitu golongan munafik akan berhias-hias dengan dunia dan lalai kepada akhirat. Orang munafik tertipu dengan dunia ini dan demi kerana dunia mereka sanggup untuk menjual agama yang ada pada mereka.


Golongan ketiga ialah golongan kafir yang akan menikmati dunia ini sepuas-puasnya tanpa mengira halal atau haram. Meraka hidup di atas dunia dengan tujuan untuk memuaskan nafsu mereka semata-mata tidak lebih dari itu.

Sebelum Tiba Saat Itu


Mati yang sering kita ingin lari darinya pasti akan menemui kita suatu hari nanti apabila tiba saat dan waktu yang telah ditetapkan oleh Allah. Justeru itu, sebelum mati datang menjemput kita tanpa sebarang notis eloklah kiranya kita beringat dengan dunia ini kerana godaan dunia terlalu hebat dan telah berjaya menipu daya ramai manusia.

Sebelum tiba saat itu, marilah kita berusaha menambah amal sementara masih lagi hidup kerana itulah sebaik-baik bekal yang sangat berguna untuk dibawa bertemu dengan Allah nanti.

Sentiasalah berdoa kepada Allah supaya ditetapkan iman dan sentiasa bertambah hidayah dari hari ke hari kerana tanpa hidayah daripada Allah kita tidak mampu untuk terus beristiqamah di atas jalan yang lurus yang telah pun dilalui oleh Nabi dan para sahabat baginda.




Rujukan:

[i] Hadith Riwayat Ahmad (2336) dan Ibnu Hibban (683)

[ii] Dr Aidh al-Qarni : ilal lazina asrofu ala anfusahum

0 comments:

Post a Comment