Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang teman lama. Sapaan saya yang penuh ceria kerana sudah lama tidak terserempak dengannya hanya dibalas dengan sebuah senyuman yang tidak simetrik. Jalannya yang pantas telah bertukar perlahan. Suaranya yang lantang telah berubah menjadi perlahan. Malah, peribadinya yang ligat telah berubah. Tenang lagi menenangkan.
Saya terus bertanya khabar, bukan sekadar untuk berbasa basi, tetapi untuk mengetahui mengapa dia berubah laku. Maklumlah, kami berkenalan sejak di zaman muda lagi. Dia terkenal di kalangan kami kerana sering bertukar kerja. Dia memulakan kariernya sebagai kakitangan kerajaan, kemudian bekerja dengan swasta, dengan NGO, bekerja sendiri sehingga akhirnya dia mempunyai pelbagai perniagaan yang di antaranya hartanah, arkitektur, sewa kereta, resort, restoran, kafe siber malah kolam memancing.
Teman saya ini mula bercakap mengenai usianya yang tinggal sedikit dan bagaimana dia hendak menghabiskan sisa-sisa hidup ini. Mengenai perniagaannya; dia bercadang untuk menjual sebahagian daripadanya dan yang lain kepada anak-anaknya. Mengenai hartanya; dia sudah pun mendapat perkhidmatan peguam untuk menulis wasiat dan belajar mengenai faraid. Mengenai dirinya; dia cuma hendak banyakkan solat sunat dan bersedekah.
Usia Biologi
Kesemuanya bermula bila usia 55 tahunnya sampai. Tiba-tiba larian pantasnya merentas garisan kehidupan telah bertukar perlahan. Seolah-olah usia itu telah memancung atau memisah dua dunianya. Nampaknya, teman saya sudah mengatur baki kehidupannya. Malah, dia kini hendak mengurus kematiannya. Mengapa? Kerana teman saya diingatkan oleh usia biologinya.
Usia biologilah sebenarnya yang membuatkan ramai di kalangan kita yang tidak senang duduk. Ramai yang ingin mengelak daripada menghebahkannya kepada orang lain. Malah ada yang cuba menyembunyikan usia biologi ini dengan melakukan pelbagai suntikan dan sedutan agar tubuh tidak kelihatan dimakan usia.
Usia biologi ini juga yang membuatkan ramai di antara kita rengsa. Bila usia menganjak ke 55 tahun, tiba-tiba diri akan berasa sudah tua. Tiba-tiba sudah tidak mahu aktif di pentas kehidupan. Tiba-tiba sudah mahu menghabiskan apa yang dianggap sisa-sisa hidup dengan bersedia untuk mati, lantas ingin bertapa di tikar sejadah.
Usia Psikologi
Alangkah bagusnya jika kita sedar bahawa di sebalik usia biologi yang lahiriah, terdapat dua lagi usia yang jarang-jarang kita ambil perhatian? Jenis usia yang kedua adalah usia psikologi. Usia psikologi menggambarkan tahap pemikiran kita. Malangnya, ramai di antara kita yang terencat usia psikologi kerana mengabaikannya.
Tidak ramai kanak-kanak mempunyai usia psikologi seperti orang dewasa, tetapi ramai orang dewasa mempunyai usia psikologi seperti kenak-kanak. Lihatlah perangai budak-budak di kalangan orang dewasa sama ada di pentas politik, perniagaan, guaman, kejuruteraan, ekonomi mahu pun kedoktoran. Mereka berakal pendek kerana berperangai budak seperti bergaduh, bertengkar dan menipu.
Usia Spiritual
Jenis usia yang ketiga pula adalah usia spiritual. Lihatlah ramai di antara kita yang meskipun telah lanjut usia biologinya, namun usia spiritualnya masih rendah atau tidak bergerak sejak meninggalkan sekolah. Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai lagi yang tidak mengambil agama sebagai cara hidup. Sebaliknya hanya menggunakan agama sebagai budaya tempelan.
Usia biologi akan meningkat sendiri. Tetapi usia psikologi dan usia spiritual perlu disirami agar ia berada di tahap yang seiring. Semakin kita beranjak tua, cara berfikir dan bertindak sudah tidak boleh seperti remaja. Dan usia spiritual melalui cara kita mengamalkan agama sudah tidak boleh setakat melakukan yang wajib seperti kanak-kanak. Sekurang-kurangnya sudah kerap mengimamkan solat berjemaah dengan keluarga.
Mujur bagi teman saya. Walaupun tidak menyedari terdapat usia psikologi dan usia spiritual selain daripada usia biologi, sekurang-kurangnya beliau berusaha agar peribadi dan akhlaknya dipersiapkan agar seganding dengan tubuhnya.
Mujur juga kerana umur 55 tahun dianggap sebagai usia untuk bersara daripada aktiviti keduniaan dan mesra akhirat.
2 comments:
salam,
usia itu adalah masa untuk .....
beribadah......
beriadah.........
dan mencari rahmat ilahi
btol tu Dx
Post a Comment