KritikaN MembinA KekuataN DijanA

Thursday, June 24, 2010

Kaffarat Melanggar Sumpah

Kaffarat Melanggar Sumpah
Firman Allah:

(سورة المائدة)(٨٩)
لاَ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُواْ أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


TERJEMAHAN

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja. Maka kaffarat (melanggar) sumpah ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukumNya agar kamu bersyukur (kepadaNya).

(Al-Maaidah 5:89)



SEBAB TURUN AYAT


Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas (ra) katanya: Ketika turun ayat 87 Surah Al-Maidah (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas), lalu kaum yang dulunya telah mengharamkan ke atas diri mereka menggauli isteri-isteri mereka dan mengharamkan ke atas diri mereka dari makan daging, mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang kami patut lakukan terhadap sumpah-sumpah yang telah kami ucapkan itu? Maka turunlah ayat di atas (Al-Maaidah 5:89).




TAFSIRAN AYAT

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah),

Maksudnya: Allah tidak akan menghukum kamu disebabkan sumpah yang kamu ucapkan sedangkan kamu tidak bermaksud bersumpah, seperti kata seseorang yang tidak bermaksud sumpah: Tidak, demi Allah; Memang betul, demi Allah. Kata-kata sumpah yang tidak bermaksud sumpah seperti ini tidak ada hukumannya, iaitu di dunia tidak perlu dikaffarat, dan di akhirat tidak akan diseksa oleh Allah.


tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja.

Maksudnya: Tetapi Allah akan menghukum kamu jika sumpah yang kamu ucapkan itu benar-benar dengan maksud sumpah dan kamu bertekad akan melaksanakannya lalu kamu langgar ketetapan sumpah itu.


Maka kaffarat (melanggar) sumpah ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak.

Maksudnya: Jika sumpah tersebut dilanggar atau bercadang untuk melanggarnya maka orang yang bersumpah itu mestilah membayar kaffarat sebagaimana berikut:
  1. Memberi makan sepuluh orang miskin. Ukuran makanan tersebut ialah seperti makanan yang biasa kita berikan kepada keluarga kita. Tidak memadai jika lebih rendah mutunya atau kadarnya dan jangan pula berlebih-lebihan seperti jamuan Hari Raya. Menurut Imam Abu Hanifah: Juga boleh kalau memberi makan untuk seorang miskin selama 10 hari.

  2. Memberi pakaian sepuluh orang miskin. Keadaan pakaian berbeda-beda menurut negeri masing-masing. Oleh itu, kebiasaan (‘urf) dalam masyarakat bolehlah dijadikan sebagai ukuran umpamanya: Seluar dengan kemeja, sarung dengan baju kurung dan sebagainya.

  3. Memerdekakan seorang hamba sahaya. Para Fuqahaa berbeza pendapat tentang hamba (budak). Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad mensyaratkan budak tersebut mestilah beriman. Sedangkan Abu Hanifah berkata: Memadai walaupun budak itu kafir.


Catatan: Ketiga-tiga jenis kaffarat di atas tidak diwajibkan tertib tetapi kita bebas memilih salah satu daripadanya. Tetapi yang afdhal ialah jika dimulai dari bawah, iaitu memerdekakan seorang hamba atau memberi pakaian sepuluh orang miskin atau memberi mereka makan. (Lihat hadis di bawah)


Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari.

Maksudnya: Barangsiapa tidak sanggup melakukan salah satu daripada tiga jenis kaffarat di atas maka diwajibkan ke atasnya berpuasa selama tiga hari berturut-turut.

Ibnu Mardawiyah meriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) katanya: Ketika ayat kaffarat di atas diturunkan, Huzaifah bertanya: Ya Rasulullah, kami diperbolehkan memilih? Jawab Rasul (sallallahu alaihi wasalam):

“Kamu boleh memilih, jika kamu merdekakan seorang hamba, jika kamu mahu berikan pakaian, jika kamu mahu berikan makanan. Dan bagi yang tidak memperolehinya maka wajib ke atasnya puasa selama tiga hari berturut-turut”.


Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu.

Maksudnya: Demikianlah kaffarat sumpahmu jika kamu bersumpah dengan nama Allah atau dengan sdalah satu daripada Nama-namaNya lalu kamu langgar atau bercadang hendak melanggarnya. Dan peliharalah sumpahmu, janganlah dia digunakan dalam perkara yang remeh-remeh dan janganlah banyak bersumpah, lebih-lebih lagi jika sumpah tersebut mengandungi unsur-unsur dusta. Jika kamu telah bersumpah, jangan kamu lupakan sumpahmu itu. Dan jangan kamu langgar sumpah itu kecuali karena darurat ataupun jika ada kemaslahatan yang nyata di balik pelanggaran itu.


Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukumNya agar kamu bersyukur (kepadaNya).

Maksudnya: Demikianlah Allah menerangkan hukum-hakam agamaNya dan selok-belok syariatNya supaya kamu dapat mensyukuri nikmat-nikmatNya dengan cara yang disukai dan diredhaiNya. Dan selanjutnya berhak mendapat tambahan kurnia dan ihsan daripadaNya.







SUMPAH DAN PERSOALANNYA

Sumpah dan kaffarat melanggarnya merupakan salah satu cabang ilmu dalam Islam yang wajar diketahui oleh setiap penganutnya supaya mereka boleh beragama dengan lebih sempurna. Di antara persoalan yang patut kita ketahui antaranya ialah:

1. Dilarang bersumpah dengan selain Nama-Nama Allah atau Sifat-SifatNya. Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:

“Barangsiapa yang bersumpah, janganlah ia bersumpah kecuali dengan (Nama atau Sifat) Allah”.

[HR Bukhari dan Muslim]


Termasuk juga dalam larangan ini bersumpah dengan Nabi, Ka’bah, Wali, Nenek moyang dan lain-lain lagi.


2. Diperbolehkan kita melanggar sumpah jika difikirkan lebih membawa kebaikan tetapi wajib membayar kaffarat sumpah. Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam):

“Jika kamu bersumpah, lalu kamu berpendapat selainnya adalah lebih baik, maka ikutilah mana yang lebih baik dan tunaikan kaffarat (melanggar) sumpah itu”.

[HR Bukhari dan Muslim]


Dan dalam lafaz hadis yang lain pula:

“…maka tunaikan kaffarat melanggar sumpah, kemudian ikutilah mana yang lebih baik itu”.

[HR Abu Daud dan An-Nasaai]


Berdasarkan kedua-dua hadis di atas kita diperbolehkan menunaikan kaffarat samada sebelum melanggar sumpah ataupun sesudah melanggarnya.


3. Jika ditinjau dari sudut “apa yang disumpahkan” maka sumpah terbagi kepada beberapa bahagian:

Pertama: Bersumpah ke atas perbuatan yang wajib dilakukan atau haram meninggalkannya. Sumpah jenis ini lebih menguatkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka sumpah jenis ini haram dilanggar, malahan jika dilanggar maka haramnya akan berganda seperti bersumpah tidak akan meninggalkan solat atau tidak akan berzina.

Kedua: Bersumpah meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram. Sumpah ini wajib dilanggar karena sumpah jenis ini adalah haram. Umpamanya bersumpah akan memutuskan silaturrahim, dan sebagainya.

Ketiga: Bersumpah akan melakukan perkara sunat (mubah) atau akan meninggalkan perkara makruh. Ini adalah sumpah taat. Sunat hukumnya ditunaikan dan makruh jika dilanggar. Umpamanya: Setelah bersumpah tidak akan makan makanan tertentu lalu sumpahnya dilanggar kerana menghormati tetamu.


4. Sumpah ada tiga jenis: Sumpah Laghaa, Sumpah Mun’aqad, Sumpah Ghamuus.

Sumpah Laghaa: Bersumpah tetapi tidak dengan maksud sumpah. Seperti kata seseorang: Demi Allah, kamu mesti hadir. Sumpah jenis ini tidak dihukumkan sumpah.

Sumpah Mun’aqad: Sumpah dengan sengaja dan memang bertekad kuat akan melaksanakannya. Sumpah jenis ini jika dilanggar wajib membayar kaffarat seperti kehendak ayat di atas.

Sumpah Ghamuus: Dinamakan juga dengan Shaabirah, iaitu “Sumpah Dusta”. Sumpah ini bertujuan hanya untuk menipu dan khianat. Sumpah jenis ini termasuk dosa besar. Ghamuus maknanya: melemaskan atau membenamkan, kerana pelakunya akan dibenamkan ke dalam api neraka. Wal-iyadzu Billah.




Firman Allah:

“Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang menyebabkan tergelincir kaki (mu) sesudah kukuh tegaknya, dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan bagimu azab yang besar.

(An-Nahl 16:94)


Rujukan:

1. Fiqhus Sunnah Jld III – Said Sabiq
2. Tafsir Al-Maraghi – Imam Al-Maraghy
3. Zaadul Masiir Fii ‘Ilmit Tafsir Jld. II – Ibnu Al-Jauzy


0 comments:

Post a Comment