PESONANYA CINTA, ROBEKNYA KASIH
Ya Allah, mana rasa sayang wahai saudaraku? Sudah pudarkah rasa kasihan dan sudah hapuskah sekelumit belas? Tiada lagikah rasa perikemanusiaan dalam diri masyarakat kita? Kita seharusnya sepakat, duduk bersama untuk berbincang mengenai masalah ini, bagaimana untuk mengatasinya, bagaimana untuk memulihkan keadaan ini daripada terus menjadi belenggu yang semakin parah di negara kita, dan bukannya terus menghukum mereka yang telah terlanjur. Remaja yang terlibat ini seharusnya diberikan perhatian, diberikan motivasi dan yang penting dibimbing dengan ajaran agama supaya mereka tidak terus terkapai-kapai tenggelam dalam arus cinta duniawi.
Persoalan anak siapa? Satu isu yang memang hangat diperdebatkan malah sangat menyedihkan bagi masyarakat yang prihatin. Baru-baru ini saya berkesempatan menonton rancangan al-Kulliyah, tajuknya “Anak Siapa”. Perbincangan semalam sangat menimbulkan kesedaran pada diri saya sebagai remaja, jadi saya terpanggil untuk menitip sedikit sebanyak pendapat saya mengenai isu yang melanda negara kita sekarang ini.
Tajuk artikel saya pada kali ini, “Pesonanya Cinta, Robeknya Kasih”..Pesona cinta adalah virus yang boleh dikatakan major yang melanda masyarakat kita sekarang terutamanya remaja kini, manakala robeknya kasih pula merujuk kepada akibat daripada pesona cinta dunia sehingga robeknya pengharapan kasih seorang anak yang suci daripada sedikitpun dosa. Inilah gejala yang menggila yang kita sedia maklum bukan baru, tetapi sudah lama melanda negara kita, namun masih berterusan dan semakin menjadi-jadi hari ini, iaitu isu buang bayi.

Cinta itu satu perasaan yang suci kurniaan Allah SWT kepada kita umat manusia, satu perasaan yang indah dan membuatkan umat manusia saling menyayangi dan mengasihi antara satu sama lain. Memang rasa cinta itu satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata sehinggakan ada segolongan daripada masyarakat kita sebagai manusia yang hanyut dek kerana terpesona dengan cinta telah menyalahgunakan rasa cinta itu untuk diberikan kepada insan yang tidak sepatutnya sehinggakan lahirnya insan suci yang tidak berdosa.
Sehingga kini, banyak sekali kita dengar tentang kes-kes buang bayi, tak kiralah daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar universiti mahupun masyarakat sekeliling kita . Baru-baru ini kita dikejtkan dengan berita mengenai seorang pelajar darjah 6 di sebuah sekolah di pantai timur telah melahirkan bayinya di tandas sekolah, namun bayi tersebut dijumpai mati lemas dalam bilik air tersebut, mungkin kerana ibunya itu terlalu panik sehingga terbunuh bayinya sendiri, nau’zubillah. Tidak lupa juga berita terbaru tentang pelatih PLKN yang telah selamat melahirkan bayinya semasa menjalani latihan PLKN. Berita-berita sebegini semuanya berpunca dari satu rasa, iaitu cinta. Itulah cinta, hanya kerana terpesona dengannya mampu memusnahkan hidup manusia jika tidak disalurkan kepada yang paling berhak iaitu Khaliq, Pencipta kita, Allah Azza wa Jalla.
Jika kita kembali kepada punca asas kepada masalah ini, ia adalah kerana lemah atau kurangnya pegangan iman dan ilmu agama dalam diri remaja kita. Selain itu, terlalu taksub dengan cinta juga adalah penyumbang utama terjadinya masalah sosial ini. Remaja kini dengan mudah menafsirkan rasa cinta sehinggakan mereka dalam tidak sedar telah melebihkan nafsu daripada akal dan iman, sedangkan kita sebagai manusialah yang harus bijak mengawal nafsu bukannya nafsu yang mengawal diri kita. Bila berbicara tentang remaja yang terlanjur, sebenarnya bukan sahaja wanita yang patut dipersalahkan, malah lelaki juga haruslah mempunyai kesedaran tentang kesilapan yang telah mereka lakukan. Mereka hanyut dalam rasa cinta tanpa memikirkan impak disebalik perbuatan zina yang mereka lakukan. Maka terlahirlah zuriat suci yang tidak berdosa.
Perbuatan zina dan isu buang bayi memang bersangkut-paut. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 31-32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan.Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah satu dosa yang besar. Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan."
Dalam ayat di atas, Allah memberikan peringatan dan larangan kepada kita supaya tidak mendekati zina dan tidak membunuh anak kerana anak juga adalah rezki daripada Allah SWT.
Kita sedia maklum, wanita adalah kaum yang lemah yang diakui imannya hanyalah senipis helaian rambut, mudah goyah dan mudah depengaruhi syaitan durjana bila kurangnya keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Wanita amat lemah dengan kata-kata cinta dan janji manis sehingga menurut apa sahaja keinginan sang lelaki kerana terlalu cinta dan tidak ingin kehilangan kekasih hati mereka. Lelaki yang tidak bertanggungjawab pula mementingkan keseronokan dunia semata-mata dengan senangnya merangut mahkota kesucian wanita yang dahagakan kasih sayang dan kesetiaan kekasih mereka. Lelaki seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab terhadap apa yang telah mereka lakukan, bukan membiarkan bunga terkulai layu begitu sahaja setelah habis madunya. Mereka tidak sepatutnya membiarkan kaum wanita sahaja menanggung bebanan dosa akibat perbuatan bersama, tetapi sewajibnya bertanggungjawab.
Oleh itu, sedarlah kaum hawa, peliharalah maruah dan harga dirimu dan buat kaum adam, pimpin dan peliharalah maruah kaum hawa kerana merekalah yang akan menjadi ibu kepada anak-anakmu nanti, jangan biarkan kami hanyut ditelan arus cintamu kerana engkaulah pemimpin srikandi, yang sepatutnya memimpin kami menuju redha Ilahi.
Tersadung hanya daripada satu kesilapan yang kesannya memusnahkan cinta ibu dan anak, merobeknya harapan seorang anak yang mengharapkan kasih suci seorang ibu dan bapa yang bakal mencorakkan kehidupannya. Ini sering terjadi apabila tiada lagi rasa simpati, insaf, dan sayang terhadap anak yang tidak berdosa ini. Sedangkan anak adalah anugerah Allah yang amat berharga, yang sepatutnya ditatang bak minyak yang penuh, bukan sebagai minyak tengit yang boleh dibuang sesuka hati. Anak yang suci ini dengan tanpa rasa belas kasihan sewenang-wenangnya dibuang ke tempat-tempat yang tak sepatutnya seperti tong sampah, tandas, sungai dan sebagainya sehinggakan baru-baru ini kita amat terkejut dengan penemuan mayat bayi yang anggota badannya digonggong anjing. Malah jika anak ini terselamat, timbul pula isu anak haram, anak zina sehinggakan terjadi pula kesan psikologi yang mendalam terhadap anak-anak ini sepanjang hidup mereka apabila mereka dicemuh dan dipandang hina oleh segolongan masyarakat kita yang tidak peka terhadap masalah ini.
Ya Allah, mana rasa sayang wahai saudaraku? Sudah pudarkah rasa kasihan dan sudah hapuskah sekelumit belas? Tiada lagikah rasa perikemanusiaan dalam diri masyarakat kita? Kita seharusnya sepakat, duduk bersama untuk berbincang mengenai masalah ini, bagaimana untuk mengatasinya, bagaimana untuk memulihkan keadaan ini daripada terus menjadi belenggu yang semakin parah di negara kita, dan bukannya terus menghukum mereka yang telah terlanjur. Remaja yang terlibat ini seharusnya diberikan perhatian, diberikan motivasi dan yang penting dibimbing dengan ajaran agama supaya mereka tidak terus terkapai-kapai tenggelam dalam arus cinta duniawi.
Tahap keimanan dalam diri yang terhasil dari tiang agama yang utuh, iaitu solat yang khusyu’ mampu menjadi benteng dan perisai daripada tersungkur ke kancah yang tidak berperikemanusiaan ini. Begitulah betapa pentingnya pegangan agama dan kesedaran dalam diri kita terhadap perkara kemungkaran. Buat mereka yang telah terlanjur, kembalilah kepada ya Rabbana, kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah Maha Pengampun.
Usah ditangisi atau diratapi perkara yang terjadi tetapi bangkitlah untuk memperbetul dan menginsafi kesilapan tersebut. Disinilah amat berharganya air mata seorang hamba yang mendambakan pengampunan daripada Allah Yang Maha Penyayang Jadi, ayuhlah para remaja dan masyarakat sekalian, sama-samalah kita memohon petunjuk hidayah dan perlindungan daripada Allah supaya terhindar daripada perkara yang membelenggu ini, banyakkan berdoa agar iman kita tetap utuh dan semakin menebal kecintaan kita kepada Allah.

Sebagai penutup, renungkanlah bersama firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran, ayat 135 yang bermaksud:
“ Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu, sedang mereka mengetahui.”
Masih banyak peluang tersedia untuk berubah, bergantunglah kepada yang empunya diri. Bertaubatlah semuanya dan sebagai masyarakat dan saudara seislam, kita harus memaafkan mereka yang terlanjur ini. Siapalah kita untuk menghukum mereka sedangkan Allah SWT Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang menerima taubat hambaNya. Yang penting, jagalah hati kerana ia adalah radar yang bergerak, yang menentukan tahap keimanan kita.
Sesungguhnya hati setiap manusia itu menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan, maka terpulanglah kepada manusia untuk memilih pemenangnya. Hargailah anak-anak yang tidak berdosa ini, kerana mereka selayaknya hidup di muka bumi Allah ini sebagaimana insan yang lain. Hargailah juga semua insan di sekeliling kita kerana bukankah kita semua bersaudara. Sungguh benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita miliki sampai kita kehilangannya,tetapi sungguh benar pula bahwa kita tidak tahu apa yang belum pernah kita miliki sampai kita mendapatkannya.Lalai sesaat kadangkala mampu membuatkan air mata bercucuran setahun.
Bertaubat dan bermohonlah kepada Allah selagi masih ada waktu, insyaAllah.
0 comments:
Post a Comment